Buletin

LALUAN KERETA API SEJAUH 1,000KM DIBUKA. LAOS MUNGKIN DIJERAT HUTANG CHINA

Sebuah laluan kereta api yang menghubungkan antara China dan Laos dirasmikan sebagai sebahagian daripada Jalur dan Laluan di antara kedua-dua negara. 

Menurut laporan laman berita Wion News, landasan kereta api sepanjang 1,000 kilometer itu menghubungkan bandar Kunming di China dengan ibu kota Laos, Vientiane. Projek tersebut menelan belanja sehingga AS$6 bilion (RM25.386 bilion) untuk dibina. 

Dalam  majlis perasmian secara maya yang dihadiri oleh Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Laos, Thongloun Sisoulith, Jinping berkata, kedua-dua  negara itu kini berada  pada ‘titik permulaan sejarah baharu’.

‘’China bersedia untuk mengukuhkan komunikasi strategik dengan Laos, mempromosikan pembangunan berkualiti tinggi menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan, selain terus membina komuniti China-Laos yang tidak boleh dipisahkan menerusi  masa depan yang dikongsi bersama,’’ katanya.

China turut berharap untuk mengembangkan laluan kereta api itu melalui Thailand dan Malaysia menuju ke Singapura.

Laluan itu dibina oleh sebuah syarikat milik pemerintah  China dengan Beijing memiliki 70 peratus kepentingan dalam projek tersebut.

Menurut  agensi berita Xinhua, terdapat berbilang terowong dan jambatan sepanjang landasan kereta api  itu dengan nisbah 87 peratus di kawasan China dan 63 peratus lagi di wilayah Laos.

Antaranya termasuk  Jambatan Ban Ladhan Mekong, Jambatan Luang Prabang Mekong, Terowong Ban Sen No. 2 dan Terowong Ban Nakok.

Bagaimanapun, ahli-ahli  ekonomi sebelum ini memberi  amaran bahawa projek ini akan menyukarkan Laos untuk membayar balik hutang luar negaranya. –  Agensi  

Google ads
Back to top button