Buletin

NISSAN Z GT500, GANTI PERANAN GT-R R35 DALAM SUPER GT JEPUN

Bulan Ogos yang lalu, Nissan telah melancarkan secara rasmi generasi baharu kereta sports Nissan Z (pada awalnya digelar sebagai Nissan 400Z).

Kini, versi jentera lumba telah diperlihatkan secara rasmi (Z GT500) di mana ia akan menggantikan secara terus peranan yang ditinggalkan oleh Nissan GT-R yang telah berkhidmat selama 13 tahun itu.

Pengenalan rasmi ini dibuat di Litar Antarabangsa Fuji (Fuji Speedway), dan mengikut spesifikasi perlumbaan yang telah ditetapkan oleh kelas GT500, Z GT500 ini akan dikuasakan oleh enjin inline-4 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 650 hp, lengkap dengan transmisi sekuential 6 kelajuan dan pacuan roda belakang.

Secara perbandingan, Nissan Z yang bakal menguasai jalanan tidak lama lagi didatangkan dengan enjin 3.0 liter bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 400 hp, dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik sembilan kelajuan.

Anda bakal menyaksikan aksi jentera ini di pusingan pembukaan Super GT 2022 yang akan berlangsung di Okayama International Circuit pada bulan April nanti.

Google ads
Back to top button