Buletin

MCMURTRY SPÉIRLING KERETA HIPER ELEKTRIK PERTAMA DIPANDU TERBALIK DARI PEGUN!

Ada yang pernah menonton aksi lipas kudung McMurty Spéirling? Kereta hiper elektrik kecil dengan panjang 3.4 meter dan pemegang rekod Goodwood Festival of Speed dan Laguna Seca Corkscrew.

McMurty Spéirling juga memecahkan rekod Litar Ujian Top Gear dengan masa 3.1 saat dan mengatasi kereta lumba Formula 1 Renault R24 V10.

Spéirling merupakan kereta kipas atau fan car. Kereta ini menggunakan kipas berkuasa tinggi untuk menghasilkan daya mendap secara aktif dan bukan semata-mata bergantung pada aerodinamik pasif seperti sayap atau peresap.

Ini pula rekod baharu di dunia dan satu yang luar biasa iaitu dalam keadaan bumbung ke bawah dan tayar ke atas atau secara terbalik!

Sistem kipas Spéirling menghasilkan Downforce-on-Demand untuk menyedut kereta hiper ke lantai rig berputar yang dibina khas.

Demonstrasi teknologi ini diadakan di ibu pejabat McMurtry di Gloucestershire, England, dan disaksikan oleh pekerja serta penilai bebas.

Mengapa Kereta Boleh Dipandu Terbalik?

  • Kereta lumba berprestasi tinggi seperti Formula 1 mampu menghasilkan daya mendap yang sangat kuat
  • Pada kelajuan tinggi, daya mendap ini boleh melebihi berat kereta itu sendiri
  • Dari segi teori, daya mendap yang tinggi boleh membolehkan kereta melekat pada permukaan terbalik
  • Ini seperti konsep kapal terbang yang boleh terbang terbalik jika daya angkat cukup kuat
  • Walaupun teori ini wujud sejak lama, tiada siapa yang pernah benar-benar mencubanya
  • McMurtry Spéirling menggunakan sistem Downforce-on-Demand™ yang unik
  • Sistem ini menggunakan kipas untuk mencipta vakum di bawah kereta, menghasilkan daya mendap walaupun pada kelajuan sifar (pegun)
  • Kereta lain hanya boleh hasilkan downforce pada kelajuan tinggi melalui reka bentuk aerodinamik

Demonstrasi Memandu Terbalik

  • Thomas Yates memandu Spéirling ke atas platform khas
  • Platform kemudian berputar, menjadikan kereta terbalik sepenuhnya
  • Sistem vakum menahan kereta pada lantai platform dengan daya yang lebih kuat daripada graviti
  • Setelah terbalik sepenuhnya, Thomas memandu ke hadapan tanpa sebarang sokongan

Prestasi Luar Biasa

Sistem ini juga membolehkan Spéirling:

  • Memecut dari 0-60 bsj dalam 1.5 saat
  • Menghabiskan jarak 400 m dalam 8 saat
  • Membelok dengan daya 3g (3 kali ganda graviti)

Penampilan Semasa Demontrasi

  • Kereta ini ditampilkan dengan rekaan luaran samaran helang (falcon camouflage) berkilat di atas lapisan asas hitam matte.
  • Rekaan ini penghormatan kepada kereta kipas McMurtry asal yang diperkenalkan pada tahun 2021 di Goodwood di mana orang ramai bertanya, “Bolehkah ia dipandu terbalik??”
  • Motif burung helang peregrine digunakan berdasarkan logo syarikat McMurtry.
    Peregrine falcon ialah makhluk terpantas di dunia dan menjadi simbol utama rekaan ini.
  • Terdapat juga grafik tambahan di bahagian lain kereta, termasuk di bawah sayap belakang, yang direka khas untuk dapat dilihat dengan jelas apabila kereta berada dalam keadaan terbalik.

Aspek Keselamatan

Walaupun nampak bahaya, Spéirling dibina mengikut piawaian keselamatan ketat kereta LMP1 (seperti kereta lumba Le Mans 24 Hours).

  • Daya mendap tidak bergantung kepada kelajuan atau arah pergerakan – Tahap daya mendap kekal stabil walaupun kereta sedang perlahan, berhenti, atau berpusing.
  • Ujian menunjukkan kelebihan dalam situasi kecemasan – Jika pemandu hilang kawalan atau memasuki pusingan tidak terkawal (spin), sistem masih mengekalkan tahap cengkaman yang tinggi.
  • Sistem brek sangat berkesan hasil gabungan dengan daya mendap – Apabila brek digunakan dalam situasi sebegitu, kereta boleh berhenti hampir serta-merta.
  • Kereta masih dapat berhenti di atas permukaan litar – Ini menunjukkan kestabilan yang luar biasa walaupun dalam situasi berisiko tinggi.

Dari prototaip ke pengeluaran

Kereta spesifik yang digunakan untuk rekod ini ialah McMurtry Spéirling PURE Validation Prototype 1 (VP1).

Ia adalah evolusi kereta hiper yang mencipta rekod di Goodwood dan sedang melalui proses akhir penyediaan untuk pengeluaran bersiri dengan jumlah terhad sebanyak 100 unit sahaja.

Penghantaran pertama Spéirling PURE kepada pelanggan dijadualkan pada 2026 dan akan mempunyai beberapa peningkatan berbanding prototaip ini, terutamanya bateri berkapasiti lebih tinggi (100kWj).

Ini membolehkan sesi pemanduan yang lebih lama dengan masa pemanduan selama 20 minit di litar pada kelajuan setara GT3 dan beberapa pusingan pada kelajuan pemecah rekod.

Sel bateri litium-ion yang akan digunakan ialah P50B Molicel 21700, yang menawarkan penghantaran kuasa dan ketumpatan tenaga luar biasa.

Google ads
Back to top button