Buletin

MELAKA, GENTING HIGHLANDS DAN PULAU TIOMAN BAKAL DIBUKA KEPADA PELANCONG

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mencadangkan tiga lagi destinasi yang akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata destinasi itu ialah Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka, dan cadangan itu telah diluluskan pada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19.

“Hari ini kita telah luluskan tiga destinasi lagi (Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka), ia akan dibawa ke mesyuarat sidang khas (Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19) esok (hari ini),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19.

Nancy berkata prosedur operasi standard (SOP) perjalanan masuk ke tiga destinasi tersebut akan diperhalusi terutama SOP masuk ke negeri Melaka, yang mempunyai kawasan liputan yang luas sambil menyatakan pemain industri di tiga destinasi berkenaan diminta bersedia menanti kedatangan pelancong.

Memaklumkan perkembangan di Pulau Langkawi, sejak projek rintis itu bermula 16 hingga 19 Sept seramai 6,662 pelancong memasuki pulau itu melalui penerbangan, manakala 3,483 lagi menggunakan feri. – Bernama

Google ads
Back to top button