Buletin

POLIS BURU INDIVIDU DALAM VIDEO ‘HEALING’ DI STESEN MINYAK

Satu kertas siasatan dibuka polis berhubung video tular memaparkan aktiviti memasak mi segera di kawasan sebuah stesen minyak, di Genting Highlands, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan 12.35 tengah hari semalam berhubung klip video memaparkan sekumpulan individu melakukan perbuatan itu yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular di laman sosial X.

“Klip video berdurasi kira-kira 50 saat memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan melakukan aktiviti memasak stesen minyak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu akan dijalankan di sekitar kawasan itu dengan lebih kerap terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.

“Polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu keterangan awam.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri.

“Mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button