Buletin

LITAR ORIC SEPANJANG 5.8 KM SETANDING NURBURGRING. BAKAL JADI HAB PEMOTORAN DAN PELANCONGAN DI LANGKAWI

OPENROAD ASIA SDN BHD (OPen Road Asia) memeterai perjanjian usaha sama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dalam membangunkan destinasi perdana pelancongan serta sukan pemotoran di Malaysia, OPen Road International Circuit (ORIC) and Integrated Resorts (IR)  di pulau peranginan Langkawi.

ORIC and IR, bakal dibangunkan di atas tanah seluas 183 ekar yang mengadap laut Selat Melaka di Bukit Malut dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM 1.3bilion.

Destinasi pelancongan terbaharu itu, bukan sahaja merangkumi litar sukan permotoran yang diluluskan FIA tetapi menempatkan sebuah resort bersepadu sepenuhnya.

Ia merangkumi hartanah kediaman mewah, outlet penjualan barangan mewah, hotel bertaraf 5 bintang, pusat pengedaran kereta 4S, gudang penyimpanan kereta untuk 900 unit, stesen minyak dan juga pelbagai tarikan pelancong serta restoran berkelas dunia.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor menyaksikan majlis menandatangani JV berkenaan antara PKB yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rahman Din dan OPen Road Asia diwakili Pengasas dan Penasihat Kumpulan Datuk David Goh.

Menurut David, Projek Bersepadu ORIC dijangka menyediakan lonjakan ekonomi berimpak tinggi yang segera kepada Pulau Langkawi dan negeri Kedah, serta Malaysia apabila ianya siap dalam jangka masa 5 tahun kelak.

“Dengan unjuran penambahan dari segi ketibaan pelancong-pelancong berbelanjaan tinggi dari dalam dan luar negara, projek ini dijangka membantu mewujudkan aliran perniagaan yang tidak putus-putus dan peluang pekerjaan bagi rakyat Kedah menerusi perkembangan ekonomi pulau ini.

“Adalah menjadi harapan kami agar projek ini mengkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi paling popular pelancong-pelancong di Asia Tenggara.”katanya.

Beliau menjelaskan fasa pertama pembangunan berkenaan melibatkan litar lumba bertaraf antarabangsa yang menelan kos pembinaan sebanyak RM180 juta.

Katanya, pembinaan litar berkenaan akan mencatat beberapa rekod dari segi reka bentuk litar lumba termasuk litar lurus terpanjang, anjakan selekoh atau carousel, dan hairpin turun bukit.

“Litar lumba sepanjang 5.8km tersebut dimodelkan daripada litar Nurburgring di Jerman dan bakal menjadi “Nurburgring di Timur”.

“Reka bentuknya mengikut topografi sebenar Bukit Malut dan diberi penarafan Litar Gred Dua oleh FIA.” katanya.

David menambah dengan penarafan berkenaan litar tersebut boleh digunakan untuk semua perlumbaan kecuali Formula 1 (F1).

Beliau berkata apabila tidak mempunyai perlumbaan utama, litar berkenaan akan dibuka kepada orang ramai.

“Istimewanya litar ini, pendekatan yang digunakan adalah hampir sama dengan litar Nurburgring apabila pengguna akan dibekalkan dengan tiket ataupun token ketika memasuki litar.

“Jumlah bayaran yang akan dikenakan kelak mengikut pusingan dilakukan para pengguna litar ini,” katanya.

Beliau menambah apabila ORIC siap pada suku kedua pada 2023, tarikan litar lumba bertaraf dunia itu bakal meletakkan Langkawi di barisan hadapan peminat-peminat sukan permotoran di Asia.

Katanya, ia juga akan digunakan sebagai platform menyemai R&D dalam sektor automotif, medan ujian dan destinasi perlumbaan bagi pengeluar-pengeluar utama automotif, peminat sukan permotoran dan pasukan perlumbaan dari seluruh dunia.

Google ads
Back to top button