Buletin

MEMANDU DI LITAR LONJAK MOOD DARIPADA BERSENAM DI GIM – KAJIAN UNI LOUGHBOROUGH DAN ABARTH

Ini ada satu kajian yang menarik untuk diberi perhatian. Universiti Loughborough dari United Kingdom dan Abarth telah membuat satu kajian dan dapatan yang diperolehi menunjukkan pemanduan di litar melonjakkan mood seseorang berbanding bersenam di gim!

Universiti Loughborough adalah universiti yang terkenal dalam bidang sains sukan dan bersama Abarth melakukan ujian Circuit Training Mood Test bagi meneroka perbezaan emosi di antara bersenam di gim dan memandu di litar lumba.

Eksperimen itu berlangsung selama satu hari di Litar Lumba Mallory di mana para peserta memandu Abarth F595, 595 Esseesse dan 595 Competizione termasuk sesi hot lap bersama pemandu profesional.

Berikut adalah dapatan daripada kajian yang dilakukan:

  • Secara purata seseorang merasa 59 peratus lebih gembira memandu Abarth di litar berbanding bersenam di gim
  • Tahap keseronokan apabila memandu 116 peratus lebih tinggi berbanding senaman kardio
  • Perbezaan mood semasa memandu di litar dan sesi angkat berat sangat kecil, hanya empat peratus sahaja
  • 20 peratus peserta lebih gembira apabila dapat memandu dengan jitu di litar berbanding senaman kardio dan angkat berat dan 63 peratus lebih gembira jika dibandingkan dengan senaman kardio sahaja
  • Berada di sebelah pemandu profesional 77 peratus lebih menyeronokkan berbanding sesi kardio dan latihan rintangan dan 141 peratus lebih menyeronokkan berbanding senaman kardio sahaja
  • Turut memberikan impak walaupun berada di sebelah pemandu ialah 16 peratus peserta berasa lebih seronok berbanding latihan rintangan
  • Satu lagi dapatan menarik ialah peserta menunjukkan rasa gembira ketika melakukan latihan angkat berat berbanding senaman aerobik. Perasaan gembira adalah 108% lebih tinggi semasa mengangkat besi berbanding sesi kardio

Bagaimana eksperimen dilakukan?

Eksperimen ini diketuai oleh Dr Dale Esliger dari Universiti Loughborough.

Seperti yang dinyatakan para peserta memandu kereta Abarth di litar lumba dan turut diberi peluang untuk duduk di sebelah pemandu profesional dalam sesi hot lap.

Selepas itu pihak universiti menyediakan set latihan kardio dan rintangan di pusat kemudahannya.

  • Bagi mengukur mood peserta secara saintifik, sejumlah kaedah pengiraan dan teknologi berbeza digunakan
  • Teknologi pengecaman wajah yang canggih dipasang di gim dan kereta bagi mengesan ekspresi wajah peserta
  • Turut digunakan ialah alat pengawasan degupan jantung, jam tangan gred perubatan dan soalan penilaian kendiri
  • Kombinasi kaedah pengukuran fisiologi dan psikologi membolehkan universiti mengesan secara tepat perasaan yang sedang dialami pada setiap aktiviti seperti kegembiraan, kejutan, keterujaan, bangkitan, kemarahan dan kesedihan

BACA: FIAT 595 ABARTH – COMEL TAPI LIAR

BACA: VAN KOMERSIAL FIAT ULYSSE/SCUDO DENGAN SENTUHAN SPORTI DARI IRMSCHER

Google ads
Back to top button