Motosikal

YAMAHA PERKENAL XSR900 ABARTH EDISI TERHAD

Bagi mereka yang ingin tampil berbeza, jentera terbaharu daripada Yamaha ini mungkin sesuai untuk anda.

Café racer yang dikenali sebagai XSR900 Abarth itu sudah dibuka untuk tempahan secara dalam talian. Tempahan awal bagaimanapun hanya terhad kepada 95 unit sahaja.

Lebih menarik lagi, jika berjaya masuk ke dalam senarai itu, anda juga akan menikmati pengalaman dilayan sebagai seorang VIP ke ibu pejabat Abarth di Turin, Itali. Sedia maklum bahawa Abarth ialah satu jenama talaan yang sering dikaitkan dengan model-model keluaran Fiat.

BACA: YOSHIMURA HASILKAN SISTEM EKZOS KHAS UNTUK YAMAHA R1

Pelanggan berpeluang memandu uji kenderaan Abarth di litar. Tiada maklumat mengenai bilakah lawatan itu akan diadakan. Tetapi model-model terawal XSR900 Abarth dijangka diserahkan kepada pembeli mulai April.

Jentera ini merupakan hasil kerjasama unik di antara Yamaha dan Abarth. Sedia maklum juga bahawa pasukan MotoGP Yamaha memang sudah menjalin kolaborasi dengan fiat sejak sekian lama.

Dibina berasaskan kepada model MT-09, XSR900 Abarth dipasang dengan cowling hadapan rekaan retro di bahagian hadapan dan penutup tempat duduk belakang yang diperbuat daripada gentian karbon. Bar hendalnya direndahkan, sistem ekzos Akrapovic turut dipasang.

XSR900 Abarth digerakkan oleh enjin tiga silinder CP3 dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 850cc. Enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 115hp dan tork 87Nm

Jentera itu dipasang dengan sistem kawalan cengkapan, klac slipper dan bantuan, brek cakera, selain mematuhi piawaian emisi Euro 4. Ia dijual di pasaran UK pada harga £9,999 (RM54,600) seunit.

Alat-alat ganti custom yang ada termasuklah tempat duduk kulit dengan jahitan bebang merah dan lampu brek LED berbentuk bulat. Tidak ketinggalan, tangki minyak yang dicat kelabu bersama kemasan blok berwarna merah dan logo Abarth.

BACA: MOTOSIKAL YANG COOL INI ASALNYA YAMAHA TMAX 530

Memandangkan ini model edisi khas, maka semua motosikal dilekatkan dengan plat nombor siri pada kerangkanya.

GALERI

 

Google ads
Back to top button