Buletin

ABARTH 500E – HOT HATCH ELEKTRIK CILIK YANG LEBIH PANTAS BERBANDING ABARTH 695

Jenama berprestasi tinggi Abarth sebelum ini terkenal dengan kereta-kereta Fiat yang telah ditala semula.

Namun kali ini, mereka buat kali pertama tampil dengan sebuah hot hatch berkuasa elektrik menggunakan asas daripada Fiat 500e.

Berbanding Fiat 500e yang mampu menjana kuasa 117 hp dan 220 Nm, Abarth telah menala semula trenkuasa elektrik tersebut supaya menghasilkan 155 hp dan 235 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas tujuh saat, atau dua saat lebih pantas berbanding 500e standard.

Mungkin tidak nampak signifikan, akan tetapi Abarth telah membuktikan Fiat 500e ini mampu mengalahkan catatan masa Abarth 695 dengan kelebihan 1 saat di litar Misto Alfa Romeo.

Secara standard, Abarth 500e dibekalkan dengan pek bateri 42 kWh, serta sokongan pengecasan 85 kW yang membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam masa 35 minit.

Pengecasan selama lima minit pula membolehkan Abarth 500e mencapai jarak gerak sejauh 40 km.

Abarth turut melancarkan 500e Scorpionissima dengan angka produksi dihadkan kepada 1,949 unit sahaja bersempena dengan tahun penubuhan Abarth, membawakan ciri seperti warna Acid Green atau Poison Blue, grafik sisi, rim 18 inci, dan bermacam-macam lagi.

Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk balutan Alcantara berlogokan Abarth, roda stereng dengan penunjuk pukul 12, skrin infotainmen 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta skrin kluster digital sebesar tujuh inci.

Antara ciri lain termasuklah lampu dan penyeka kaca automatik, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, kamera 360 darjah, sistem bunyi JBL, sistem kawalan iklim automatik dan sistem penjana bunyi enjin palsu.

Google ads
Back to top button