VAN KOMERSIAL FIAT ULYSSE/SCUDO DENGAN SENTUHAN SPORTI DARI IRMSCHER
Van-van komersial mempunyai satu masalah yang kronik di mata sesetengah pihak – ia mempunyai rupa paras yang begitu membosankan.
Buat syarikat yang mahukan kelainan terhadap fleet van komersial mereka, boleh cuba dapatkan khidmat daripada Irmscher.
Pakej kosmetik yang ditawarkan pada van Fiat Scudo dan van penumpang Fiat Ulysse ini merangkumi kemasan lip bagi menjadikan rupa hadapan yang sedikit agresif, diikuti dengan skirt sisi, pakej grafik hitam, penambahan pada bampar belakang dan tidak ketinggalan spoiler bumbung yang agak besar.
Terdapat sehingga tiga pilihan saiz rim (18, 19 dan 20 inci) dengan kemasan warna hitam dan penutup tengah berwarna merah, diikuti dengan spring aftermarket yang boleh merendahkan ketinggian van sebanyak 30 mm.
Platform EMP2 yang digunakan oleh Ulysse dan Scudo ini memberikan makna pakej Irmscher ini boleh dipadankan pada model-model van komersial lain seperti Peugeot Expert/Traveller, Citroen Jump/SpaceTourer, Opel/Vauxhall Vivaro/Zafira Life dan Toyota Proace/Proace Verso.