
FIAT 595 ABARTH – COMEL TAPI LIAR
Pasaran kereta yang bajet comel sememangnya senantiasa mendapat perhatian khususnya di benua Eropah. Maka tidak hairanlah, seandainya Fiat memilih untuk meneruskan legasi lagenda kereta comel mereka, Fiat 500.
Akan tetapi, untuk kelihatan comel dan manja sahaja bukanlah menjadi falsafah kepada Abarth, sebuah syarikat luar yang kemudiannya telah menjadi payungan kepada Kumpulan Fiat juga. Di era 60an / 70an, Abarth juga pernah menghasilkan sebuah Fiat 595 Abarth ori.

Dan di era serba moden ini, mereka kembali lagi menghasilkan versi terbaharu Fiat 595 Abarth. Terima kasih kepada model asal Fiat 500.
Jelas sekali rupa luarannya menampilkan karakter comel tetapi dalam masa yang sama kelihatan sedikit liar. Dan itulah kepakaran Abarth untuk menala semula kereta ini. Rekaan kit badan meliputi bahagian bampar hadapan dan belakang serta skirting berjaya memberikan imej yang lebih sporty dan dan garang.
Dan yang paling penting, sudah tentulah keupayaan untuk menjadikan kereta secomel ini liar dan buas. Secara asasnya, Fiat 595 ini menggunakan enjin 1.4 T-Jet yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 180 HP. Cukup bertenaga apatah lagi dipadankan dengan sebuah kereta yang bersaiz troli ini sahaja. Memang berdesup perginya.
Menjadikannya ianya lebih garang, Fiat 595 turut mendapatkan khidmat Akrapovic bagi membekalkan sistem ekzos. Hasilnya, cukup untuk mengejutkan satu taman perumahan bangun solat Subuh.
Dan bagi memastikan Fiat 595 mampu berhenti di mana dengan cepat seperti mana lajunya ia memecut, brek dari Brembo telah digunakan. Tidaklah ragu sangat bila tengah memecut laju tiba – tiba kereta hadapan main brek macam orang gila kan.

Bahagian dalamannya juga menampilkan rekaan sebuah kereta lumba. Lengkap dengan kemasan karbon fiber. Bukan jenis pelekat punya ok. Dan sebagai sebuah kereta moden, skrin sesentuh dengan fungsi navigasi serta sokongan Apple CarPlay.

Tempat duduk jenis bucket dengan logo Abarth itu juga dapat memastikan pemandu dipeluk erat sewaktu meratah selekoh dengan rakus. Tidaklah bimbang sangat nak tercampak ke cermin pintu ke apa kan. Apatah lagi dengan penggunaan sistem gantungan daripada Koni FSD (Frequency Selective Damping).
Sesungguhnya beruntunglah pengguna di benua Eropah sana. Khabarnya kos memilikinya tidak mahal mana. Sekitar £23,880 sahaja (RM129,322). Kalau ikut per duit, dengan harga serupa ini kita hanya mampu dapat Axia sahajalah gamaknya. Jadilah. Comel juga Axia ini kan? Kan?
BACA : FIAT 500 L -WAGON KIUT UNTUK MAK – MAK
BACA : FIAT 500 STAR WARS