MERCEDES-AMG DEDAH TEASER SPORTSCAR ANEH DENGAN MUKA G-WAGEN
Selera orang adakalanya sangat pelik dan berlawanan arus dengan apa yang biasa kita percayai sebagai ‘cantik’ dan ‘menarik’.
Ini yang cuba disampaikan oleh Mercedes-AMG menerusi sebuah model kereta sports one-off hasil kerjasama dengan artis Will.I.Am.
Gambar teaser itu memaparkan sebuah kereta sports dua pintu (dipercayai AMG GT) yang diberikan muka depan berpetak G-wagen, diikuti dengan rekaan gril bersegi, lampu utama berbentuk bulat dan rekaan bampar AMG.
Rekaan sisi pula dikatakan amat menyerupai model AMG GT masa kini, sementara bahagian belakang pula mengambil inspirasi daripada model AMG GT 4-Door, termasuklah boot dan juga lampu LED.
Berdasarkan video teaser, kereta sports one-off ini turut menampilkan sepasang pintu jenis suicide, rekaan yang lebih bersegi diikuti dengan liang fender depan yang meniru rekaan daripada model SLR.
Menurut laman web Will.I.Am, beliau ‘mencipta kereta tersebut bagi mendanai program kejuruteraan sekolah di tengah bandar yang mampu mempersiapkan generasi muda untuk masa depan berteknologi.
Difahamkan, kereta sports ini akan didedahkan dalam masa terdekat.
Sumber: Instagram