
FORD PANGGIL BALIK 20 RIBU F-150, WAYAR KOLUM STERENG PENDEK SANGAT
Ford baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan trak pikap paling popular di Amerika Syarikat, F-150 disebabkan oleh sistem pendawaian kolum stereng yang terlalu pendek.
Difahamkan, sebanyak 69 buah laporan dicatatkan berhubung aduan berkenaan sistem pendawaian yang terlalu pendek, menyebabkan Ford terpaksa memeriksa hampir 20,000 trak pikap!
Kesemua trak pikap yang terjejas dipasang antara 14 September 2021 hingga 25 Februri 2022, dan setiap satu dilengkapi dengan ciri larasan stereng tilt & telescopic, namun apabila roda stereng itu dilaras terlalu jauh daripada papan pemuka, ia mampu mengakibatkan sistem pendawaian pada bahagian tersebut terputus.
Kesan daripada itu, roda stereng akan kekal pada posisi tersebut, diikuti dengan lampu amaran beg udara muncul.
Daripada jumlah 19,175 unit trak yang terjejas, Ford menjangkakan 45 peratus daripadanya memerlukan sistem pendawaian serba baharu.
Sebelum ini, Ford telah mengumumkan kempen panggil semula disebabkan oleh penyeka kaca yang longgar dan boleh tercabut, sementara hujung Mac lalu satu lagi kempen diumumkan kepada hampir 50,000 unit F-150 disebabkan transmisi yang boleh menukar kepada posisi neutral ketika sedang dipandu.





