
MERCEDES-AMG G63 – LIMOSIN KALIS PELURU UNTUK BERPERANG DENGAN BERGAYA
Dunia kini semakin merbahaya untuk golongan selebriti, jutawan kosmetik timbang kilo dan menteri. Bayangkan ancaman yang terpaksa mereka hadapi seperti gambar mereka dalam IG disalahguna dan video menteri bergaduh macam budak sekolah di parlimen disiarkan. Malu ooo, jadi langkah terbaik ialah menggunakan kenderaan berperisai kalis peluru macam Mercedes-AMG G63 ni. Tinted pun kena 230 peratus, takut orang nampak.

Limosin macam ni memang digemari oleh orang-orang terkenal di seluruh dunia kecuali Abang Japar. G-Class kali peluru ini dihasilkan oleh Inkas. Selain dipanjangkan sebanyak 173 inci, ia turut dilengkapi dengan armor terbaharu yang menahan tembakan dan serangan bom tangan.
Sekali tengok SUV ni dah sama panjang dengan kapal layar. Namun begitu ia cuma boleh memuatkan empat orang sahaja dalam satu masa. Apa ko ingat ini bas kilang ke? Bahagian luaran diberi perhatian khusus untuk keselamatan. Ia dilengkapi dengan armor pelindung, kaca balistik dan sistem kawalan perimeter yang lengkap dengan kamera pengesan haba.

Bahagian lain yang turut dinaiktaraf termasuklah sistem suspense, kaca kalis peluru, engsel pintu yang diperkuatkan dan tayar run-flat. Inkas turut menawarkan beberapa aksesori pilihan seperti lampu kecemasan, sistem siren/sistem intercom PA dan sistem sokongan kebakaran selain komponen brek heavy duty.
SUV ini juga mampu menahan serangan tembakan peluru bersaiz 7.62 dan 0.308. Bahagian lantainya pula mampu bertahan walaupun diserang dengan beberapa biji grened. Enjin asal G63 masih dikekalkan bermakna ia masih mempunyai kuasa maksima 577 hp.

Okey bahagian dalaman pula lain cerita, ia lebih mewah dan langsung tidak kelihatan macam berada dalam sebuah kereta perisai. Hampir keseluruhan bahagian dalaman dibalut dengan Alcantara gred premium dan kulit berkualiti tinggi. Tempat duduknya pula diberi jahitan corak berlian yang memang menjadi identity Inkas.
Sistem infotainment pula merangkumi Apple TV 4K integrasi, sistem kawalan suara dan monitor TV 4K UHD. Terdapat juga kotak penyejuk dan tempay duduknya juga mampu berfungsi sebagai kerusi urut dengan sistem lampu yang mampu memberikan pencahayaan seperti waktu siang.


Harga? Dan tentu tak murah. Ingat keselamatan datangnya dengan kos yang sangat tinggi dan kalau anda mampu membayar hampir RM5 juta, SUV ini mungkin menjadi milik anda. Hah, apa lagi daftar la jadi downline MLM sekarang.