Buletin

MERCEDES-BENZ C-CLASS FACELIFT – 3 VARIAN, BERMULA RM259,888 SEUNIT

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan model sedan popularnya, C-Class yang telah menerima penambahbaikan ketara.

C-Class facelift pemasangan tempatan itu hadir dalam tiga varian iaitu C 200 Avantgarde, C 300 AMG dan Mercedes-AMG C 43 4MATIC. Ini bermakna, varian C 180 dan C250 yang sebelum ini ditawarkan kepada pelanggan telah digugurkan.

Mercedes-Benz C 200 Avantgarde

C 200 tampil dengan kemasan luaran Avantgarde. Ia melibatkan bampar tengah dengan kemasan krom berkilat dan jeriji berlian berwarna hitam. Penampilannya diperkemaskan lagi dengan pengguaan rim aloi bersaiz 18 inci dan lampu utama LED High Performance.

Ruang kabin diserlahkan menerusi aplikasi kemasan kulit Artico dan kayu oak. C 200 Avantgarde turut dilengkapi pelbagai ciri kemudahan seperti Keyless Go, sistem Audio 20 GPS serta kesambungan telefon pintar Apple CarPlay dan Android Auto.

Kualiti premium dijelaskan lagi dengan ciri bantuan parkir aktif, kamera undur dan kawalan cruise Speedtronic. Bagi meningkatkan tahap keselamatan, jentera itu dipasang dengan sistem pengesan titik buta yang beroperasi dari kelajuan 10km/j hingga 200km/j.

Berbeza dengan versi terdahulu, C 200 Avantgarde kini menggunakan khidmat enjin 1.5 liter twin-scroll turbo yang mampu menjana kuasa sehingga 181hp pada 5,800-6,100rpm dan tork 280Nm.

Menjadi tawaran enjin paling kecil pernah ditawarkan pada C-Class di pasaran tempatan, ia tetap mampu memecut 0-100km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 239km/j.

Kuasa enjin tersebut dipertingkatkan menerusi padanan sistem elektrik EQ Boost 48-volt bersama penghidup/alternator pacuan tali sawat. Hasilnya, kuasa tambahan sebanyak 13hp dan 160Nm dapat diberikan.

Pemanduan mantap pula disokong oleh sistem suspensi Agility Control. C 200 Avantgarde boleh anda miliki pada harga RM259,888 seunit.

Mercedes-Benz C 300 AMG

Varian pertengahan ini kelihatan semakin bergaya dengan kemasan luaran dan dalaman AMG Line.

Bagi memastikan pemanduan waktu malam yang lebih selamat, model itu menggunakan lampu utama jenis Multibeam LED dengan Ultra Range dan rim AMG bersaiz 19 inci.

Ruang dalaman dilengkapi bumbung panoramik elektronik, sistem bunyi Burmester serta stereng sport AMG yang dibalut kulit Nappa.

Sedan itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter twin-scroll yang mampu menghasilkan 255hp dan tork 370 Nm. Penggunaan bahan api yang dicatatkan ialah sekitar 6.5 hingga 6.9 liter bagi setiap 100km.

Dipadankan dengan kotak gear 9G-Tronic sembilan kelajuan, sedan premium itu boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.

C 300 AMG ditawarkan pada harga RM304,88 seunit

Mercedes-AMG C 43 4MATIC

Menjadi varian tertinggi untuk C-Class, Mercedes-AMG C 43 4MATIC dikuasakan oleh enjin V6 biturbo.

Enjin bersesaran 3.0 liter dengan pengecas turbo berkembar itu mampu menjana kuasa sehingga 390hp dan tork 520Nm dari 2,500 hingga 5,000rpm. Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan.

Varian itu hadir dengan 19-inci AMG. Jika anda masih tidak berpuas hati, MBM ada menawarkan pilihan rim yang lain.

C 43 4MATIC menggunakan lampu utama Multibeam LED dengan Ultra Range yang menjanjikan suluhan cahaya lebih terang dan meyakinkan.

Ruang dalaman diserlahkan dengan pelbagai kemasan premium seperti stereng sport AMG, balutan kulit Nappa dan banyak lagi.

Anda pasti berpuas hati dengan kualiti sistem bunyi Burmester. Varian itu turut dibezakan dengan bumbung panoramik elektronik, kamera 360-darjah dan Active Lane Keeping Assist yang berfungsi dalam kelajuan antara 60 km/j dan 200 km/j.

C 43 4MATIC ditawarkan pada harga RM421,888 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button