Buletin

MERCEDES-BENZ DAPAT PERMIT GUNA LAMPU FIRUS (TURQUOISE) DI CALIFORNIA DAN NEVADA

Mercedes-Benz menjadi pengeluar kereta pertama di dunia menerima permit bagi menggunakan lampu penanda cahaya (market lights) luar khas untuk pemanduan berautomatik di California dan Nevada, Amerika Syarikat.

Pada peringkat awal California memberikan permit pengujian kenderaan selama dua tahun.

Permit di Nevada pula diberikan kepada Mercedes-Benz EQS Model Tahun (MY) 2026 dan S-Class DRIVE PILOT dan kekal sehingga berlakunya perubahan perundangan.

Kedua-dua permit yang diterima membolehkan Mercedes-Benz mendapatkan maklumat mengenai interaksi di antara kenderaan berautomatik dan pengguna jalan raya lain.

Penggunaan penanda cahaya dijangka dapat meningkatkan lagi penerimaan orang awam terhadap pemanduan berautomatik.

Penggunaannya juga dapat menyumbang kepada keselamatan jalan raya memandangkan lampu tersebut menjadikan status atau pengoperasian pemanduan berautomatik jelas dilihat dari luar.

Penguatkuasa trafik dan polis pula dapat mengetahui status sistem dan menentukan sama ada pemandu dibenarkan melakukan aktiviti lain semasa pemanduan.

Direka mengikut Amalan Pengesyoran SAE J3134, penanda cahaya warna firus (turquoise) untuk pemanduan berautomatik di California dipasang pada lampu depan dan belakang kenderaan pengujian.

Di dalam perumah cermin sisi Mercedes-Benz pun ada!

Pada peringkat awal, penanda cahaya kenderaan berautomatik digunakan pada kenderaan pengujian di California yang dilengkapi sistem pemanduan berautomatik bersyarat SAE Tahap 3 DRIVE PILOT.

Sistem itu adalah yang pertama menerima kelulusan jenis (type approval) di dunia.

DRIVE PILOT menerima pensijilan di Jerman pada 2021 dan 2023 di Nevada dan California.

Di Jerman, sistem DRIVE PILOT sudah pun ditawarkan sejak 2022. Di Amerika Syarikat, kenderaan produksi pertama dengan sistem itu digunakan di lebuh raya California dan Nevada pada 2023.

Warna firus memenuhi dua ciri penting iaitu kebolehlihatannya membolehkan pengguna jalan raya lain dapat melihat dan mengesannya dengan cepat.

Warna itu juga berbeza daripada lampu kenderaan sedia ada dan isyarat jalan raya seperti lampu isyarat atau lampu kecemasan dan pengguna tidak mudah terkeliru.

Selain itu, berdasarkan sejumlah dapatan dan kajian, firus merupakan warna optimal untuk pemanduan berautomatik.

Warna firus juga disenaraikan di dalam pengesyoran amalan industri SAE J3134 (ADS Marker Lamps) untuk digunakan bagi memaparkan pengaktifan sistem pemanduan berautomatik.

Mercedes-Benz komited dalam menyeragamkan warna firus sebagai kaedah atau identiti pemanduan berautomatik dan menggalakkan pemahaman dan penerimaannya di peringkat dunia.

Setakat ini tiada rangka kerja am di Amerika Syarikat, China atau UN-ECE (United Nations Economic Commission for Europe) bagi penggunaan lampu firus untuk kenderaan produksi.

California dan Nevada telah mengambil langkah pertama yang penting dengan kelulusan ini.

Google ads
Back to top button