Buletin

MERCEDES-BENZ G 580 WITH EQ TECHNOLOGY RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM958K

Mercedes-Benz Malaysia kini secara rasmi memperkenalkan G 580 with EQ Technology, sebuah SUV elektrik mewah yang mengekalkan warisan G-Class, namun dibekalkan dengan teknologi trenkuasa moden sepenuhnya elektrik.

Model ini mengekalkan rupa ikonik “kotak” G-Wagen tetapi tampil dengan sentuhan moden termasuk gril hadapan berwarna hitam dan ruang simpanan belakang menggantikan tayar gantian.

Dibina berasaskan kerangka G-Class tradisional, ia menggunakan empat motor elektrik berprestasi tinggi dengan gabungan kuasa 587hp dan tork 1,164Nm, membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.7 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 180 km/j.

G 580 EQ dikuasakan oleh bateri lithium-ion 116kWh yang menawarkan jarak gerak hingga 473km (WLTP) sekali cas.

Ia menyokong pengecasan AC hingga 22kW (penuh dalam masa 12 jam) dan pengecasan pantas DC 200kW yang mampu mencapai 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 32 minit.

Dari aspek pemanduan, ia menawarkan beberapa pilihan mod termasuk Comfort, Sport, Individual, Trail dan Rock untuk keupayaan merentas desa.

Sistem suspensi pula menggunakan konfigurasi double-wishbone di hadapan dan suspensi De Dion di belakang, memberikan kelegaan tanah 250mm dan kebolehan meredah air sedalam 850mm.

SUV ini juga dibina dengan keupayaan off-road tulen – mampu mendaki cerun sehingga 35 darjah, sudut pendekatan 32°, sudut pelepasan 30.7° dan sudut breakover 20.3°.

Turut ditawarkan ialah ciri-ciri khas seperti G-Turn (pusingan setempat), G-Steering (membantu belok di laluan sempit), sistem bunyi sintetik G-Roar, serta sistem pandangan bonet lut sinar.

Masuk ke dalam, ia dilengkapi dua skrin 12.3-inci, sistem audio Burmester 3D, skrin hiburan belakang serta integrasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Lane Keeping Assist dan kamera 360 darjah.

Untuk pelanggan yang mahukan kelainan, Mercedes turut menawarkan varian edisi khas “Edition One” dengan kemasan unik seperti jalur biru pada badan, angkup brek berwarna biru dan trim istimewa.

Program Manufaktur juga tersedia bagi mereka yang mahu tahap personalisasi lebih tinggi termasuk pilihan warna eksklusif dan jahitan dalaman khas.

Harga jualan rasmi bermula dari RM958,888 manakala versi Edition One ditawarkan pada RM998,888 – kedua-duanya termasuk pemasangan pengecas dinding.

GALERI:

Edition One

G 580 EQ:

Google ads
Back to top button