
VOLVO XC60 KINI MODEL PALING LARIS DALAM SEJARAH VOLVO
Dengan jumlah jualan melebihi 2.7 juta unit sejak diperkenalkan pada tahun 2008, Volvo XC60 secara rasmi mengatasi model ikonik Volvo 240 sebagai kereta paling laris keluaran Volvo setakat ini.
SUV bersaiz pertengahan ini terus menarik minat pelbagai segmen pemandu dari seluruh dunia yang mengutamakan aspek keselamatan, kualiti dan pengalaman pemanduan premium.
Bermula sebagai model buatan Eropah, XC60 kemudian mencipta sejarah sebagai model global pertama Volvo yang turut dipasang di China, bagi menyokong permintaan tempatan. Pada tahun 2018, XC60 dinobatkan sebagai World Car of the Year.
Generasi terkini XC60 memainkan peranan penting dalam memperkenalkan teknologi plug-in hybrid kepada pasaran lebih meluas dan menjadi model PHEV paling laris di Eropah tahun lalu.

“Ketika saya membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 adalah kereta keluarga yang wajib ada di setiap rumah,” kata Ketua Global Offer Volvo Cars, Susanne Hägglund.
“Kini XC60 mengambil alih peranan itu – bukan sahaja sebagai kegemaran seisi keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.”
Sambungan Legasi Kereta Keluarga Volvo
XC60 dilihat sebagai pengganti moden kepada Volvo 240 yang suatu ketika dahulu menjadi simbol keselamatan dan praktikaliti dalam bentuk wagon.
Hari ini, SUV menggantikan wagon sebagai pilihan utama keluarga moden, dan kejayaan XC60 menggambarkan perubahan citarasa pelanggan.
Dua Ikon, Satu Tradisi Keselamatan
Volvo 240 memperkenalkan ciri-ciri keselamatan canggih seperti zon remuk hadapan dan belakang serta struktur kabin yang diperkuat, yang menjadi asas kepada reka bentuk keselamatan moden hari ini. Ia juga pelopor perlindungan impak sisi (SIPS) dan kerusi ‘booster’ kanak-kanak pertama dunia pada tahun 1978.

XC60 meneruskan tradisi inovasi keselamatan ini dengan memperkenalkan teknologi seperti City Safety pada tahun 2008 – sistem brek automatik pada kelajuan rendah yang kini menjadi standard industri.
Pada 2017, XC60 menjadi kereta pertama dengan Oncoming Lane Mitigation yang secara automatik membetulkan arah pemanduan jika kereta terbabas ke laluan bertentangan.
Ke Arah Masa Depan Elektrik
XC60 turut memainkan peranan penting dalam strategi elektrifikasi Volvo, menawarkan varian plug-in hybrid yang membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya untuk jarak tertentu, namun masih disokong enjin pembakaran bagi mereka yang belum bersedia beralih sepenuhnya ke EV.
Menurut data global Volvo Cars, kira-kira separuh daripada jarak perjalanan model PHEV mereka kini digerakkan sepenuhnya menggunakan elektrik, satu petanda positif menuju masa depan neutral karbon.
- BACA: GAGAL PENUHI SYARAT, NETA MUNGKIN PERLU PULANGKAN INSENTIF KERAJAAN THAILAND
- BACA: TOYOTA HILUX UNLEASHED 2025 TUTUP TIRAI PENUH GAYA DI MELAKA
- BACA: TOYOTA LABUR RM540 JUTA DALAM PASARAN KERETA TERPAKAI INDONESIA – MALAYSIA MUNGKIN DESTINASI SETERUSNYA?
- BACA: CHERY TETAP PENANDA ARAS BAHARU KESELAMATAN BATERI HIBRID UNTUK IKLIM TROPIKA ASEAN







