Buletin

MERCEDES-BENZ G63 AMG – SIAPA BILANG G-CLASS INI TIADA LENCANA AMG?

Mercedes-Benz dan lencana AMG sememangnya sudah tidak asing lagi untuk model yang lebih berprestasi. Kita mungkin beranggapan bahawa lencana AMG ini hanyalah untuk model sedan, namun hakikatnya Mercedes-Benz sebenarnya turut memberikan lencana AMG ini terhadap model G-Class mereka.

Sebetulnya lama dahulu lencana AMG ini telah diberikan terhadap model GE 6.0 pada tahun 1993. Dan seiring dengan pengenalan model baharu, Mercedes-Benz sekali lagi mempertaruhkan G63 AMG yang semestinya menawarkan dinamik pemanduan untuk laluan biasa serta off-road dengan lebihan kuasa.

Mercedes-Benz G63 AMG baharu ini dikuasakan dengan enjin biturbo AMG 4.0L V8 yang dibina menggunakan tangan yang terbukti cukup berkuasa dengan keupayaan untuk menghasilkan kuasa sehingga 585 hp dan tork 850 Nm yang digandingkan dengan kotak gear AMG Speedshift TCT 9G yang berupaya mengekstrak kuasa lebih optimum.

Enjin binaan tangan itu turut dikuasakan dengan sistem elektrik on-board 48 volt dan penjana pemula bersepadu (ISG – Integrated Starter Generator), yang akan memberikan sokongan pada ketika enjin dalam keadaan kelajuan rendah dengan tambahan 20 hp dan 148 lb-ft. Dari titik pegun, G63 AMG ini mampu memecut ke angka 100 km/j hanya dalam tempoh 4.4 saat sahaja dengan kelajuan maksimum dicatatkan sekitar 220 km/j (dihadkan secara komputer).

Untuk memberikan pemanduan yang lebih dinamik serta pengendalian yang selesa, sistem suspensi AMG Active Ride Control turut ditawarkan sebagai pilihan kepada pengguna, Turut ditawarkan buat peminat yang menggemari laluan off-road, AMG Offroad Package PRO dengan eleman idraulik aktif menggantikan bar anti-gulung kilasan mekanikal konvensional.

Beralih ke bahagian luaran, terdapat beberapa kemasan yang cukup eksklusif termasuklah rekaan gril menggunakan Dark Chrome. Malah terdapat juga kemasan gentian karbon pada penutup roda gantian pada bahagian belakang dan juga perumah cermin sisi.

Roda aloi jenis ringan bersaiz 20 inci menggunakan kemasan warna Black Matte serta angkup brek AMG berwarna hitam memberikan kesan yang lebih garang terhadap Mercedes-Benz G63 AMG ini.

Pada bahagian kabin, ianya telah menerima teknologi moden daripada Mercedes-Benz dengan penggunaan sistem multimedia MBUX. Tempat duduk kini menggunakan tempat duduk berbilang kontur yang dibalut dengan kulit Nappa berkualiti tinggi.

Ruang kabin juga kini dilengkapi dengan pencahayaan ambien memberikan suasana mewah serta sistem bunyi keliling 3D daripada Burmester. Terdapat juga dua skrin pada bahagian belakang untuk tatapan penumpang tanpa perlu melihatkan ke hadapan.

Sekiranya anda mempunyai dekat dua juta duit kita, mungkin anda boleh meminang model yang sememangnya kelihatan cukup rugged ini.

BACA : MERCEDES-AMG CLE 53 4MATIC+ CABRIOLET 2025, SENSASI ANGIN MEMBELAH RAMBUT!

BACA : MERCEDES-AMG A 45 S 4MATIC+ 2023 KINI DI MALAYSIA. 421HP/500NM, TOP SPEED 270KM/J, BERMULA RM510K

Google ads

B K

Back to top button