
MERCEDES-AMG A 45 S 4MATIC+ 2023 KINI DI MALAYSIA. 421HP/500NM, TOP SPEED 270KM/J, BERMULA RM510K
Selain tiga sedan A-Class facelift, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperkenalkan hot hatch idaman ramai iaitu Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ 2023.
Jentera berkenaan dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo. Mampu menjana kuasa mencecah 421 hp pada 6,750 rpm dan tork 500Nm pada 5,000-5,250rpm, enjin itu dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 3.9 saat dengan kelajuan tertinggi sekitar 270 km/j.

Antara kelengkapan istimewa yang ada pada bahagian luaran hot hatch itu termasuklah suspensi AMG RIDE CONTROL, AMG DYNAMIC SELECT, gayaan AMG Bodystyling, AMG Night Package dan AMG Aerodynamic Package. Tidak ketinggalan, rim aloi AMG 19 inci dan unit lampu LED MULTIBEAM dengan fungsi Adaptive Highbeam Assist Plus.
Ruang kabin pula dilengkapi tempat duduk AMG Performance Seat Pacakge Advanced, Multicontour Seat Package, stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa/MICROCUT, upholsteri kulit ARTICO/MICROCUT, tali pinggang keledar MANUFAKTUR berwarna merah dan beberapa aksesori AMG yang lain.
Sama seperti model A-Class standard, A 45 S 4MATIC dipasang dengan skrin kluster digital 10.25 inci, skrin MBUX 10.25 inci, ciri Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecasan telefon pintar tanpa wayar dan paparan head-up.

Ciri spesifik AMG yang disertakan termasuklah AMG Driver’s Package, AMG Real Performance Sound serta fungsi AMG TRACK PACE.
MBM turut menawarkan varian AMG Street Style Edition yang hadir dengan ciri-ciri unik seperti AMG Night Package II, jeriji spesifik AMG yang digelapkan, trim AMG gelap/aluminium jingga Street Style Edition, liveri khas, rim tempa AMG 19 inci dan tempat duduk dibalut kulit ARTICO/MICROCUT AMG hitam dengan jahitan kontras jingga.

Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ 2023 ditawarkan pada harga bermula RM509,888 manakala versi Street Style Edition pula berharga RM539,888 seunit.
GALERI













