Buletin

PORSCHE DAN AUDI SAH SERTAI F1 PADA TAHUN 2026

Selepas beberapa bulan spekulasi timbul serta perbincangan, Kumpulan VW akhirnya mengesahkan secara rasmi bahawa Audi dan Porsche akan menyertai perlumbaan Formula 1.

Berita itu dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan VW, Herbert Diess dalam satu sesi bual bicara yang disiarkan di saluran YouTube Kumpulan VW baru-baru ini.

Diess menyatakan persiapan Porsche untuk melibatkan diri dalam F1 adalah lebih konkrit berbanding Audi. Keputusan kedua-dua jenama itu untuk masuk ke dalam kancah F1 diambil berikutan sukan tersebut semakin popular di seluruh dunia.

Ia juga disebabkan oleh pengenalan garis panduan baharu yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026. Perubahan itu disifatkan sebagai ‘jendela teknologi’ oleh Diess yang mengakui ia merupakan satu-satunya cara untuk peserta baharu menyertai sukan F1.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas, umum sudah maklum tentang rancangan VW untuk menyertai F1 buat kali pertama. Porsche mahu menjalin hubungan jangka panjang dengan Red Bull dalam usaha mengekalkan warisan sukan bermotornya.

F1 dilapor akan menggunakan bahan api sintetik. Porsche sudahpun melabur ke dalam teknologi itu sebagai bahan api alternatif buat kereta sports keluarannya.

Audi pula dikatakan akan mengambil jalan berbeza apabila menawarkan €500 juta (RM2.5 bilion) untuk membeli McLaren. Perbincangan bagaimanapun masih  berlangsung, apa yang pasti pembelian McLaren akan memudahkan lagi Audi untuk bersaing dalam F1.

Menurut Diess, pembelian itu akan berlaku selepas tahun 2026. Sekali gus memanfaatkan garis panduan baharu yang menjadikan mereka lebih kompetitif memandangkan semua pihak akan bermula dari peringkat awal.

Google ads
Back to top button