
MERCEDES-BENZ X-CLASS TIBA HUJUNG 2017
Model paling dinantikan, pikap trak Mercedes Benz akan melakukan debut pada Paris Show Oktober ini. Menurut laporan Auto Express, sumbernya mengesahkan bahawa versi konsep dirancang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes, Volker Mornhinweg memberitahu Mercedes akan melancarkan model trak pikap itu penghujung 2017 dan bakal bersaing dengan Volkswagen Amarok.
Buat masa ini model itu dinamakan sebagai Mercedes Benz X-Class dan didatangkan dengan gaya rekaan Mercedes dengan bar gril tiga baris yang lebar, lampu hadapan yang ditarik hingga ke belakang dan sayap hadapan berlekuk.
Rekaan keseluruhan berkongsi persamaan dengan model SUV Mercedes seperti GLE dan GLE Coupe. Trak pikap berkenaan didatangkan dengan dua kabin. Difahamkan bampar belakang juga boleh dibuka untuk meletak barang yang besar.
Di bawah kulitnya, Mercedes akan berkongsi platform kejuruteraan dengan model Nissan Navara baharu. Navara didatangkan dengan enjin 2.3 liter diesel. Bagaimanapun, Autoexpress percaya Mercedes Benz akan menawarkan enjin diesel dan petrol empat dan enam silinder.
Ia akan dipadankan dengan kotak gear manual dan automatik. Malah, difahamkan akan terdapat juga varian hibrid petrol.
Bahagian kabin, Mercedes berusaha menjadikan suasananya seperti kereta penumpang yang lain. Justeru, kemungkinan anda boleh menjangkakan rekaan dan fokus teknologi yang boleh dilihat pada model MPV Mercedes V-Class.
Tawaran pikap baharu itu akan meluaskan lagi pilihan produk Mercedes dan mendapatkan pembahagian kek pasaran pikap.