
MERCEDES EQS PEROLEH SKOR RENDAH UJIAN PENGELAKAN RUSA KM77
Ujian pengelakan rusa (moose test) merupakan salah satu elemen pengujian yang dijalankan oleh km77 untuk meneliti tahap pengendalian sesebuah model baharu ketika di dalam situasi kecemasan.
Untuk sesebuah kereta biasa, ujian tersebut mungkin tidak mendatangkan masalah besar, namun tidak bagi sebuah kenderaan elektrik yang relatifnya lebih berat.
Dalam ujian terbaharu, sedan elektrik Mercedes-Benz EQS 2022 dikatakan hanya sekadar memperoleh skor rendah di mana EV tersebut berjaya mengelak pada kelajuan 72 km/j tanpa melanggar sebarang kon.
Pihak km77 menggunakan tetapan mod pemanduan Comfort, sementara brek regeneratif pula ditetapkan kepada mod normal.
Saluran km77 turut memuji sistem stereng empat roda yang dilengkapkan pada EQS, namun mereka mengambil masa beberapa ketika sebelum dapat membiasakan diri dengan ciri tersebut.
Malah, EQS mempunyai kecenderungan untuk understeer pada kelajuan yang tinggi, mengakibatkan sedan elektrik tersebut melanggar kon ketika membuat pengelakan kecemasan.
Sebagai perbandingan, Mercedes-Benz S-Class berjaya mencatatkan kelajuan terbaik 74 km/j dalam ujian yang sama meskipun tidak dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang.
Menurut km77, masalah berat merupakan punca utama EQS gagal memperoleh skor yang cemerlang, di mana EQS memiliki berat sekitar 2,670 kg, atau 600 kg lebih berat berbanding model S-Class standard.
Adakah semua EV mempunyai masalah yang serupa?
Tidak, kerana berdasarkan data Tesla Model Y berjaya melepasi ujian pada kelajuan 83 km/j, diikuti oleh Hyundai Ioniq 5 (80 km/j).