Buletin

BERPENDAPATAN BERBILION DOLAR, INI CARA LEWIS HAMILTON BELANJAKAN WANGNYA

Bintang terkemuka sukan F1, Lewis Hamilton yang memegang gelaran juara sebanyak tujuh kali, telah menandatangani kontrak baharu pada musim 2021 meskipun pada awalnya dia mengatakan bersedia untuk bersara.

Dengan prestasi serta kebolehannya, pastinya Hamilton layak untuk mendapat pendapatan yang tinggi. Menurut Forbes, Lewis Hamilton telah menjana pendapatan sebanyak AS$46 juta (RM209 juta) di trek.

Itu tidak termasuk nilai penajaan lumayan daripada Tommy Hilfiger, Monster Energy, Puma, IWC, Sony, Bose, Ball Helmets, MV Augusta Motorcycles, Petronas dan Gran Turismo. Dianggarkan keseluruhan nilai penajaan tersebut adalah AS$285 juta (RM13.3 bilion).

Pastinya Lewis Hamilton memiliki kereta mewah. Sebut saja McLaren P1, Ferrari LaFerraris, Mercedes-AMG Project One, sudah tentu ia berada dalam senarai koleksi Lewis Hamilton.

Tetapi kini, Hamilton dikatakan semakin mementingkan alam sekitar. Kereta pilihannya kini adalah Mercedes-AMG EQS elektrik yang berharga AS$102,000 (RM479,451).

Selain memiliki kereta mewah, Hamilton pernah memiliki kapal layar Sunseeker yang sepanjang 90 kaki bernilai AS$4 juta (RM18 juta). Kapal layar itu biasanya berlabuh di Monaco.

Senarai aset yang lain Hamilton terdiri daripada rumah agam di London bernilai AS$24 juta (RM112 juta) dan penthouse di New York berharga AS$43 juta (RM 20 bilion). Hamilton turut memiliki jet peribadi bernilai AS$22.5 juta (RM106 juta).

Harus diingat bahawa kekayaan Hamilton tidak hanya dijana di atas trek, malah dia turut berminat dengan perniagaan. Jadi, dia mengusahakan restoran vegan di London dan Amerika Syarikat bersama rakan kongsi baharu, iaitu Leonardo DiCaprio.

Hamilton juga diumumkan sebagai antara pelabur terkenal dalam TMRW Sports bersama Tiger Woods dan Rory Mcllroy,

Namun hasil kekayaannya itu tidak hanya digunakan tujuan pelaburan dan perniagaan. Hamilton turut aktif bersama badan amal. Misalnya, Hamilton pernah menderma sebanyak AS$27 juta (RM127 juta) kepada badan amal Project 44 yang berfungsi memperkasakan golongan muda daripada golongan minoriti di UK.

Google ads
Back to top button