Buletin

MERCEDES LANCAR EQE SUV DENGAN JARAK GERAK 550 KM

Mercedes-Benz baru-baru ini melancarkan sebuah lagi SUV elektrik terbaharu yang lahir dari platform EVA2, iaitu EQE SUV 2024.

Seperti nama yang tertera, ia sebenarnya merupakan kembar crossover kepada sedan EQE yang telah dilancarkan sebelum ini.

Dengan pek bateri berkapasiti 90.6 kWh, EQE SUV ini mampu mencecah jarak sejauh 550 km (data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 170 kW yang membolehkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa 32 minit sahaja.

Versi asas EQE 350+ hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 288 hp dan 565 Nm, sementara versi EQE 350 4MATIC pula menambah sebuah lagi motor elektrik pada gandar depan, dengan kuasa yang sama namun angka daya kilas dipertingkatkan kepada 765 Nm.

EQE 500 SUV pula mengekalkan konfigurasi pacuan semua roda yang sama seperti EQE 350 4MATIC, namun dengan angka kuasa kuda meningkat kepada 536 hp/858 Nm.

Sementara Mercedes-AMG EQE SUV pula menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar talaan khas yang mampu menjana kuasa 617 hp dan 950 Nm, atau 677 hp dan 1,000 Nm dengan menggunakan opsyen AMG Performance Package.

Pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 3.4 saat dengan kelajuan tertinggi 240 km/j.

Membezakan versi AMG dengan EQE standard adalah sistem suspensi Airmatic yang dibantu dengan sistem olengan aktif 48 voltan, diikuti dengan sistem brek yang terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan angkup omboh tunggal di belakang.

Terdapat opsyen sistem brek ceramik yang turut ditawarkan kepada para pembeli.

Susun atur ruang kabin EQE SUV adalah menyamai apa yang ditawarkan pada EQE sedan, dengan skrin tengah bersaiz 12.8 inci serta skrin kluster digital 12.3 inci, di mana pembeli boleh mendapatkan opsyen MBUX Hyperscreen dengan tiga skrin di hadapan.

Harga jualan hanya akan diumumkan menjelang separuh pertama tahun depan.

Google ads
Back to top button