Buletin

JEEP AVENGER 2023 TIBA SEBAGAI SEBUAH SUV ELEKTRIK FWD, JARAK GERAK 550 KM

Jeep kini mula menawarkan produk yang lebih kecil yang sesuai untuk kegunaan urban, serta dijana dengan trenkuasa elektrik sepenuh masa, iaitu Jeep Avenger 2023.

SUV segmen B Avenger ini didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 154 hp dan 260 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 54 kWh.

Jarak gerak adalah sejauh 400 km mengikut data WLTP, atau sehingga 550 km sekiranya digunakan untuk pemanduan urban sepenuh masa.

Sistem pengecasan pantas 100 kW pula membolehkan pek bateri itu tadi dicas dari 20 hingga 80 peratus dalam masa 24 minit, atau jarak sejauh 30 km untuk tempoh pengecasan tiga minit sahaja.

Dari segi dimensi, Jeep Avenger membawakan ukuran sepanjang 4.08 meter sahaja, dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, serta sudut pendekatan 20 darjah dan sudut pelepasan sebesar 32 darjah.

Ruang kargo pula adalah sebesar 380 liter, dibantu dengan storan depan sebesar 34 liter, serta ruang storan barangan kecil yang boleh didapati pada bahagian panel papan pemuka dan konsol tengah.

Jeep bakal memasarkan Avenger 2023 di benua Eropah, Jepun, Korea Selatan serta beberapa pasaran lain.

Google ads
Back to top button