
MG4 EV DARI MG MOTOR, JARAK GERAK DARI 350KM – 452KM!
MG adalah sebuah syarikat ikonik dari Britain dengan usia menghampiri satu abad sejak diasaskan pada tahun 1924.
Kereta MG pada hari ini di bawah MG Motor yang dimiliki oleh SAIC Motor dari China.
Asalnya Nanjing Automobile mengambil alih kilang di Longbridge dan jenama MG dan kemudian Nanjing dibeli oleh SAIC Motor pada tahun 2007.
Kenderaan MG pada hari ini dikeluarkan di China, India dan Thailand dengan kilang di negara jiran itu pada tahun 2020 sudah pun mengeluarkan lebih 100,000 unit kenderaan.

MG mempunyai banyak buah model dari hatchback hingga SUV dengan nama yang mudah seperti MG 3, MG 6, MG ZS, MG Hector dan pelbagai lagi.
Bukan setakat banyak model, teknologi rangkaian kuasa juga canggih yang merangkumi hibrid plug-in dan elektrik.

Terbaru model elektrik MG4 EV dijadual untuk dilancarkan di United Kingdom pada September 2022.
Model elektrik dengan reka bentuk menarik ini terlebih dahulu diperkenalkan di China sebagai MG Mulan.
MG4 EV dibina dari Modular Scalable Platform (MSP) MG yang bakal digunakan untuk model MG akan datang.

Platform MSP direka untuk digunakan pelbagai segmen dari hatchback kepada SUV dan menariknya kereta sport dan sesuai untuk jarak roda 2,650 hingga 3,100 mm.
Selain itu, tinggi struktur bateri bersepadu platform ini hanya 110 mm dan bagus untuk cengkaman di jalan raya dan keseronokan pemanduan.
Paling utama, ukuran yang rendah itu membolehkan ketinggian kereta dikurangkan.

MG4 digerakkan oleh roda belakang dan mempunyai nisbah pembahagian berat 50:50 yang juga sangat bermakna dalam membentuk dinamika dan pengendalian bagus.
Buat permulaan MG4 EV akan ditawarkan dengan kapasiti bateri dari 51 kWj hingga 64 kWj dan jarak gerak 350km hingga 452 km (WLTP).

Seperkara menarik, MG ZS EV yang merupakan model elektrik pertama MG telah dibawa masuk dari UK oleh G-Mart Corporation ke pasaran tempatan.
Harga varian Trophy Standard dengan jarak gerak 320 km ditawarkan pada RM235,000.







