Buletin

MITSUBISHI TRITON ABSOLUTE CONCEPT – MAHU JADI PESAING FORD RANGER RAPTOR

Mitsubishi nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam pasaran trak pikap berprestasi tinggi apabila memperkenalkan Triton Absolute Concept pada acara Bangkok Auto Show 2019.

Trak pikap itu hadir dengan rekaan yang cukup garang, solid dan mampu menempuh apa jua permukaan jalan tanpa sebarang masalah.  

Pengeluar kenderaan dari Jepun itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada ia akan benar-benarnya menghasilkan Triton Absolute Concept untuk menjadi pesaing kepada Ford Ranger Raptor.

Namun, jika dilihat jentera ini sudah sedia untuk berada di saluran pengeluaran. Apa pun, Mitsubishi mahu mengukur maklum balas orang ramai sebelum membuat keputusan mengenainya.

Trak pikap ini jelas lebih rugged berbanding trak pikap biasa. Terima kasih kepada lift kit yang menaikkan pergerakan suspensi dan membuatkannya 50mm lebih tinggi berbanding Triton biasa.

Tidak ketinggalan, rim jenis beadlock yang dipasang bersama tayar off-road Falken Wildpeak dan fender gentian karbon yang lebar.

Elemen gentian karbon turut digunakan pada bampar, panel badan dan bahagian belakang trak ini.

Kemasan lain termasuklah plat pemijak sisi dengan garis berwarna merah dan kelabu, hendal pemegang berwarna merah, pelindung tonneau, bar lampu LED pada bumbung dan gril hitam.

Tiada sebarang maklumat mengenai enjin yang akan digunakan pada Triton Absolute Concept. Jadi, anggap sahaja Mitsubishi akan menyumbat enjin sedia ada pada jentera ini.

Mitsubishi akan mempamerkan trak pikap itu di beberapa lokasi selama 12 bulan untuk melihat penerimaan orang ramai. Jika minat yang ditunjukkan cukup untuk meyakinkan Mitsubishi, ia akan diproduksi dalam tempoh lebih setahun mulai sekarang.

GALERI

Google ads
Back to top button