;
Artikel Pilihan

MITSUBISHI TIDAK LAGI BERMINAT HASILKAN MODEL BERPRESTASI TINGGI

Kalau satu ketika dahulu, barisan produk kenderaan keluaran Mitsubishi mesti mempunyai satu atau dua model berprestasi tinggi tapi kini semuanya sudah tiada. Kenapa agaknya? Ini adalah antara sebab-sebabnya sebagaimana diterangkan oleh pengurus besar Mitsubishi UK kepada Carthrottle.

Senarai kereta berprestasi tinggi keluaran Mitsubishi memang cukup panjang sebenarnya. Selain daripada 10 generasi Lancer Evo yang tidak perlu diperkenalkan lagi terdapat banyak lagi model yang menjadi kegilaan anak-anak muda dan ayah-ayah yang dah tak muda satu ketika dahulu. Variasi Eclipse, 3000GT yang canggih dan sporty, Lancer 1600 GSR, Starion dan Galant VR4 adalah contoh beberapa model seumpamanya yang cukup dicemburui oleh pengeluar lain.

Tapi kini semua dah meninggalkan kita dan tiada pengganti yang bakal menyusul. Nama Eclipse kini dihidupkan kembali pada model crossover dan kemungkinan nama Evolution bakal menerima nasib yang sama. Tapi kenapa?

Rob Lindley menerangkan rasional tindakan yang diambil Mitsubishi di Geneva Motor Show. Menurut beliau fokus Mitsubishi kini ialah terhadap SUV, crossover, pacuan empat roda dan teknologi bahan api alternatif. Tumpuan Mitsubishi kini sudah beralih arah dan kereta sports seperti Evo bukan lagi satu keutamaan.

Jika ingin kekal fokus terhadap satu segmen, SUV merupakan pilihan yang terbaik. Sama seperti syarikat besar lain termasuk Ford cuma akan mengeluarkan SUV dan juga model crossover di AS (kecuali Mustang yang masih mempunyai pasaran besar di sana).

Perubahan aliran pasaran semasa yang gemarkan kenderaan yang besar dan lebih tinggi sebenarnya mengecilkan lagi pasaran untuk kereta-kereta sports. Namun begitu ada juga syarikat lain yang masih mengeluarkan model sports seperti Mustang dan pesaing mereka, Toyota yang baru sahaja melancarkan Supra generasi baru. Honda juga membawa kembali Civic Type R dan NSX. Jadi adakah ini bermakna Mitsubishi akan mengambil langkah yang sama? Jawapannya tetap, tidak.

Mesti ramai yang rasa Mitsubishi akan merasa tertekan kerana tidak mempunyai model sports sedangkan mereka mempunyai sejarah sukan motor yang panjang dan gemilang. Lindley tidak setuju kerana beliau merasakan walaupun mempunyai peminat yang ramai untuk jenama mereka tidak semestinya mereka cuma berminat dengan model-model sports semata-mata. Mereka yang memiliki model sports ataupun Evosekali pun, tentunya masih mempunyai kenderaan jenis lain dalam garaj mereka. Ini kami setuju sebab Abang Japar pun ada Tiara hibrid sebiji dan Pak Amid ada Naza Sutera V8.

Berdasarkan pengalaman beliau bersama Harley-Davidson sebelum ini, Lindley tahu sedikit sebanyak tentang berkerja dengan jenama terkenal. Kehebatan Mitsubishi dalam dunia pacuan empat roda semestinya menjadikan pasaran SUV sesuatu yang ideal buat mereka.

Jadi untuk mereka yang menantikan kemunculan Lancer Evo baru ataupun 3000GT baru, buat masa ini lupakanlah. Lindley juga berpendapat yang pasaran dan permintaan untuk kereta berprestasi tinggi hari ini tidaklah sebesar mana.  

Sebagai perbandingan, Toyota yang menjual 9 kali ganda lebih banyak kereta berbanding Mitsubishi juga terpaksa bekerjasama dengan BMW untuk mengeluarkan Supra baru begitu juga dengan Honda NSX. Siapa yang tidak jatuh cinta dengan Honda NSX baru tapi sayang hasil jualannya adalah sangat kurang memuaskan.

Walaupun ada peminat tetapi kereta seumpama Mitsubishi Evo memang bukan untuk dunia hari ini. Terimalah hakikat, kalau harga minyak naik 3 sen pun ramai dah berbaris kat stesen minyak sampai pukul 12.00 tengah malam. Ada lagi ke yang sanggup beli Evo yang menggunakan petrol macam Abang Japar habiskan teh o beng dengan sekali sedut?    

Kredit Carthrottle.com

Tags
Google ads
Back to top button