MITSUBISHI SNOW SHREDDER CONCEPT, PIKAP UNTUK KAWASAN BERSALJI!
Kitaran hayat pikap lebih panjang daripada kereta sedan, hatchback dan kenderaan utiliti sukan (SUV). Pengguna lebih mementingkan kegunaan namun tidak bermakna pengeluar duduk diam.
Kelompok pengguna pikap pula bukan semuanya kontraktor dan ada yang membeli kerana minat atau bagi memenuhi gaya hidup.
Kepelbagaian pengguna, persaingan dan usia panjang memerlukan pengeluar pikap untuk sentiasa tampil dengan idea baharu.
Mitsubishi Triton generasi kelima misalnya dikeluarkan pada 2014 dan baru sahaja digantikan pada 2023.
Sementara menanti pelancaran model baharu, beberapa pasaran termasuk negara kita masih lagi menawarkan Triton tersebut.
Sepanjang penawaran Triton, Mitsubishi melakukan beberapa naik taraf dan juga memperkenalkan sejumlah edisi istimewa dan terhad.
Paling menonjol Triton Phantom Plus Edition yang sarat dengan aksesori sehingga ke atas bumbung.
Baru-baru ini di Tokyo Auto Salon 2024, Mitsubishi mempamerkan Triton SNOW SHREDDER CONCEPT dengan perkakasan yang menggiurkan.
Menurut Mitsubishi, pikap konsep ini dibuat bagi menonjolkan keupayaan Triton dalam menikmati kegiatan di kawasan bersalji.
Snow Shredder bermaksud peluncur yang membelah permukaan salji dan lereng berais dengan pembelokan agresif dan Triton ini menyerlahkan keberanian dalam menghadapi pelbagai situasi.
Pikap ini asalnya sebuah Triton GSR dengan badan dibalut grafik khas dan nampak seperti sedang mengembara.
Depan dan belakang nampak kukuh dengan bampar khas dan turut dibekalkan tayar ganti. Bawah bampar depan dipasang plat perlindungan.
Bahagian sisi ditambah pemijak kaki yang juga boleh melindungi alang kerangka badan. Tayar asal diganti dengan set Toyo Observe W/T-R saiz LT285/70R17.
Lagi kelengkapan seperti snorkel, lampu LED, rak bumbung penuh dan pelbagai perkakasan untuk kegiatan luar.
Menggerakkan Triton ini ialah enjin 2.4 liter 4N16 DI-D diesel turbo yang menghasilkan 204 ps pada 3,500 rpm dan tork 470Nm dari 1,500 sehingga 2,750 rpm.
Perkakasan yang ditawarkan Mitsubishi:
- Pendakap lingkungan roda: 182,600 yen (RM5,877)
- Perkakasan pintu sisi: 105,600 yen (RM3,399)
- Perlindungan bawah: 48,400 yen (RM1,558)
- Cangkuk tunda treler: 191,400 yen (RM6,161)