Buletin

MKN AKAN KELUARKAN SOP PELAKSANAAN PKP LEBIH TEGAS SABTU INI

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilapor akan mengeluarkan SOP lebih tegas pada Sabtu ini.

Langkah itu diambil bagi mengawal dan mengambil tindakan ke atas mereka yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkembangan itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media Selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini (26 Mac 2020).

Jelas beliau, antara prosedur yang akan diperketatkan ialah prosedur pembelian barangan keperluan.

“Fasa pertama kita lihat walaupun ada sekatan tapi seolah ada perkara-perkara yang dibenarkan. Ada pengecualian-pengecualian.

Jadi, MKN diminta untuk mengeluarkan SOP baharu, yang mana peraturannya akan jadi lebih tegas daripada peraturan sedia ada,” kata Ismail Sabri.

Biarpun PKP sudah memasuki hari kelapan hari ini, masih ramai yang memandang ringan arahan tersebut. Sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawal penularan wabak COVID-19 secara total.

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, tempoh PKP yang pada awalnya berakhir pada 31 Mac telah dilanjutkan ke 14 April depan.

Tahap pematuhan PKP oleh rakyat Malaysia sekarang adalah sekitar 95 peratus. Angka yang mesti ditingkatkan lagi untuk memastikan wabak COVID-19 tidak terus merebak.

Sehingga kini, Malaysia telah mencatat 23 kematian, 45 mangsa berada di ICU dengan 2,031 kes secara keseluruhan.

Google ads
Back to top button