Artikel Pilihan

LEBIH KUASA KUDA, LEBIH BAGUS?

Jali Prelude menekan pedal minyak dengan keras. Enjin 2200cc VTEC dengan cam racing meraung keras memecut keretanya di laluan lurus dengan laju. Namun tanpa Jali Prelude sedari sebuah kereta mengekori Jali dengan rapat. Mana mungkin kereta lain boleh cucuk keretanya. Jalan di depan mula menjadi berselekoh.

Jali Prelude terpaksa membrek sedikit agar tidak terbabas. Kereta yang mengekorinya dari belakang mulai memotong dari selekoh luar pada saat Jali bergelut dengan stering dan pedal brek. Sedar-sedar Jali sudah kena potong dan kereta tersebut sedikit demi sedikit meninggalkan Jali terpinga-pinga walaupun dia cuba mengekori. Mana mungkin enjin 2200cc dikalahkan oleh kereta kecil.

Betul ke lagi besar kuasa enjin lagi bagus. Sebab lebih besar kuasa enjin mesti kereta lebih power kan? Maka tidak hairanlah dalam risalah jualan kereta, pengeluar akan mengiklankan kuasa kuda yang dihasilkan oleh enjin kereta. Siapa yang ada kuasa kuda yang lebih, mesti lebih baik dan lebih bagus. Itu tanggapan yang cuba dibina oleh pengeluar

Ia menggambarkan seolah-olah faktor lain kurang penting berbanding dengan kuasa kuda. Namun jika diperhatikan, kuasa kuda maksimum hanya akan dihasilkan pada satu RPM tertentu. Katakan 140 kuasa kuda pada 6000 RPM. Ini bermakna, jika enjin berputar pada 4000 RPM ia tidak akan akan menghasilkan 140 kuasa kuda.

Ia tidak menggambarkan apa yang berlaku jika enjin beroperasi dibawah nilai RPM 6000. Bayangkan anda berlumba dengan Nissan Leaf yang hanya mempunyai 148 kuasa kuda namun pecutan 0-100 dilakukan dalam masa 7.9 saat. Toyota GT86 pula memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.6 saat walaupun ia ada 197 kuasa kuda dan 254kg lebih ringan.

Jawapannya ialah motor elektrik menghasilkan 320Nm tork pada 0 RPM manakala GT86 menghasilkan 205Nm tork pada 6000 RPM. Motor elektrik menghasilkan tork maksima pada RPM rendah sedangkan enjin GT86 terpaksa diperah sehingga 6000 RPM untuk mendapatkan tork maksima. Kuasa kuda memainkan peranan yang kecil di sini.

Kuasa kuda yang tinggi hanya akan berguna sekiranya anda memandu pada halaju yang tinggi. Semakin laju kereta dipandu, semakin tinggi kuasa kuda diperlukan. Pada masa ini barulah kuasa kuda yang besar memainkan peranan. Tapi berapa kali anda memandu melebihi 200km/j dalam seminggu? Adakah anda perlu memandu 200km/j setiap hari untuk ke tempat kerja? Jalan jem waktu pagi tu dah jadi kebiasaan di Malaysia

Ketika ini walaupun kereta anda ada 400 kuasa kuda, anda akan sampai ke tempat kerja sama dengan kawan anda yang memandu Viva. Jika terlampau banyak kuasa yang ada pada enjin, maka beberapa masalah lain akan timbul, bagi kereta pacuan depan ia akan menghasilkan fenomena torque steer.

Bagi kereta pacuan 2 roda, kuasa yang ada perlu disalurkan kepada tayar dengan berhati hati. Kuasa yang terlalu besar akan menyebabkan tayar mudah hilang cengkaman dan tidak akan menghasilkan pecutan ke depan dengan baik. Jadi memang tidak menghairankan kebanyakan kereta super atau hypercar menggunakan AWD

Pada masa yang sama pembaca perlu ingat, kuasa yang besar datang dari sistem enjin yang besar. Jurutera perlu membesarkan saiz enjin untuk mendapatkan sesaran yang besar, piston yang besar, dan aci engkol yang besar. Kalau jurutera memilih untuk menggunakan turbo, maka isu lain pula akan timbul

Enjin perlukan sistem penyejukan yang kompleks, sistem transmisi perlu diperkukuhkan, sistem suspensi mesti diperkuatkan, brek perlu diperbesarkan dan sebagainya. Semakin besar kuasa kuda, berat keseluruhan kereta akan bertambah. Berat akan mempengaruhi dinamik pengendalian, pecutan, prestasi brek dan juga sewaktu mengambil selekoh.

Berat yang akan menyebabkan respon brek, pecutan dan respon stering menjadi perlahan. Apa yang penulis mahukan ialah sebuah kereta apabila pedal minyak ditekan ia mampau membuatkan tubuh pemandu terlempar ke penyandar kusyen, bila brek ditekan ia menjadi perlahan dengan serta merta dan apabila melalui selekoh, anda bagaikan menari di sana. Respon lebih penting daripada kuasa.

Respon adalah kunci kepada tagline “fun to drive”. Sebuah kereta yang fun to drive mestilah seimbang dari segi kuasa kuda, respon pecutan, brek, adakah sistem stering responsif, pengendalian mestilah tidak kaku dan kejung dan ia ada cengkaman yang cukup bagi mengambil selekoh tajam, memecut dan brek dengan pantas. Barulah ia menjadi sebuah kereta fun to drive.

Jika kuasa kuda dinaikkan secara mendadak, kereta akan mula kesimbangan dari segi berat, brek, dinamik pengendalian serta cengkaman. Kuasa yang terlalu banyak akan membunuh faktor fun to drive. Terlalu banyak kuasa kuda yang dihasilkan oleh enjin akan mengganggu keseimbangan kereta. Kalau setakat kereta laju di jalan lurus tetapi anda berpeluh di selekoh, lebih baik jangan tanggalkan pelekat P di cermin.

Google ads
Back to top button