Buletin

TERINGIN MAKAN CHEETOS, LELAKI DI MEXICO HANTAR CHIHUAHUA PERGI BELI

Di seluruh dunia, ratusan juta orang kini terpaksa duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan masing-masing.

PKP dilaksanakan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 yang tidak menampakkan petanda akan surut dalam masa terdekat.

Penguatkuasaan PKP semestinya membuatkan pergerakan kita terbatas. Hendak keluar ke kedai atau supermarket pun jadi malas dan bimbang. Bukan sekadar malas hendak menjawab soalan di sekatan jalan, risiko jangkitan ketika bersesak-sesak ketika membuat pembelian dan pembayaran pun ya juga.

Di sebalik kekangan itu, seorang lelaki di Mexico ada cara luar biasa untuk mendapatkan makanan yang diidamkannya tanpa perlu keluar dari rumah.  

Selepas tiga hari duduk di rumah, Antonio Munoz teringin untuk makan snek Cheetos. Tidak meminta perkhidmatan penghantaran, Munoz sebaliknya meminta tolong anjing chihuahua peliharaannya untuk membeli makanan ringan tersebut.

Munoz melekatkan satu nota pada leher anjing itu: “Hello tuan kedai. Tolong jual Cheetos kepada anjing saya ini. Saya mahu Cheetos berwarna oren, bukan yang merah kerana ia terlalu pedas. Dia juga ada bawa AS$20 pada kolarnya.

“AMARAN: Dia akan gigit kalau tidak dilayan dengan baik. Jiran rumah hadapan.”

Bagi sesiapa yang ada anjing peliharaan, mereka beranggapan usaha ini boleh berakhir dengan kejadian buruk. Misalnya, chihuahua itu mungkin dilanggar kereta, sesiapa sahaja boleh mengambil wang pada kolar atau sebagainya.

Tetapi, Munoz berjaya merakam gambar anjingnya balik dari kedai dengan satu paket Cheetos pada mulutnya.

Sama ada betul anjing itu berjaya pergi ke kedai dan balik semula ke rumah atau sekadar gimik sahaja, tidak dapat dipastikan. Tetapi, kalau betul, anjing ini memang bijak, lejen dan wajar diberi pujian.

Mexico kini telah merekodkan 387 kes jangkitan COVID-19. Kerajaan menguatkuasakan perintah pergerakan dan melarang perhimpunan lebih 50 orang.

Google ads
Back to top button