Artikel Pilihan

MOCCIS D’RANIA RALLY SHAKEDOWN DEMO – ADA ACARA RALI EH?

Dunia rali tempatan walau pun sedikit sunyi dan kelam sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun itu bukanlah petanda para penggiat rali di Malaysia ini terus lena. Dalam keadaan yang seperti tiada siapa peduli, rupanya masih ada penggiat rali yang masih cuba untuk mengejutkan kereta rali daripada terus senyap dan lena.

Pada hujung minggu lepas ketika musim cuti hujung minggu yang panjang tiba tiba terpapar di suapan berita media sosial BK tentang kelibat beberapa buah kereta rali yang sedang sibuk beraksi di permukaan berbatu, persis di sebuah ladang.

Rupa – rupanya telah berlangsung ketika itu Moccis D’Rania Rally Shakedown yang dijalankan di sebuah Ladang Moccis, Teluk Intan Perak. Mujur disebabkan kecanggihan teknologi WhatsApp memungkinkan BK untuk mendapatkan info dengan lebih mudah dan pantas daripada orang kuat acara tersebut, Haji Sutan Mustafa Salihin.

Acara yang mungkin lebih bersifat demo Rally Shakedown ini sebetulnya diadakan lebih kepada untuk menguji dan menilai trek / laluan yang ada di Ladang Moccis tersebut. Ianya telah dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Pengembaraan Millenium (MMAC). Sudah tentu ianya mendapatkan kerjasama daripada Ladang Moccis Sdn Bhd serta turut mendapat perhatian daripada Pengerusi Eksekutif Dato’ Ahmad Sobri b Wan Teh yang sudi hadir ke acara Rally Shakedown ini.

Menurut Haji Sutan, mereka sebenarnya sedang merancang mengadakan sebuah acara Rally Sprint yang berkemungkinan bakal diadakan pada bulan Mei nanti. Dan khabarnya juga Ladang Moccis ini turut berpotensi untuk menjadi venue acara Rally Sprint tersebut. Maka kehadiran beliau dan rakan – rakannya adalah bagi menguji kondisi laluan yang direncanakan kelak.

Menurut Haji Sutan, kondisi laluan yang mereka gunakan tempohari berada dalam keadaan yang cukup baik dan terjaga kawasan persekitrannya. Malah tambah beliau lagi, kesedapan untuk memecut juga tiada masalah kerana ianya turut mempunyai laluan lurus yang membolehkan kereta Subaru Impreza miliknya memecut laju tanpa masalah.

Oh ya, sebetulnya terdapat dua buah lagi kereta rali yang turut serta dalam acara demo ini, sebuah Subaru GC8 yang dipandu oleh saudara Jasni Jaafar dan juga sebuah King yang dipandu oleh saudara Zam. Seperti biasa dan diduga, King yang dipandu Zam mengalami sedikit kemalangan yang mengakibatkan King beliau terbabas ke tepi dan terbalik. Mujur tidak melibatkan sebarang kerosakan / kecederaan yang serius.

Nampaknya misi Haji Sutan bersama – sama rakan untuk melakukan Rally Shakedown demo ini seakan berhasil dengan jayanya. Kita tunggu hasi sebenar kelak. Moga – moga Rally Sprint yang diusahakan menjadi nyata kelak. Begitu juga dengan perancangan untuk berlumba ke Thailand. Moga dipermudahkan juga urusan untuk mengibarkan cabaran negara kelak.

Kredit Foto Yang Handal : FB Sham Rahaman

BACA : RALLY MARAN 2022 – APA YANG MENARIK TENTANGNYA?

BACA : RALLY SHAKEDOWN 2022 – SATU LAGI BUKTI BAHAWA SUKAN RALI TIDAK AKAN BERKUBUR

Google ads

B K

Back to top button