Buletin

KEMBAR AXIA, TOYOTA AGYA 2023 DILANCARKAN DI INDONESIA, 1.2L 3 SILINDER, 86HP, HARGA MASIH RAHSIA

Toyota Astra Motor (TAM) secara rasmi memperkenalkan Agya generasi baharu di Indonesia. Di peringkat global, Indonesia merupakan negara pertama memperkenalkan generasi terbaru Agya. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Agya Standard dan Agya GR Sport.

Meskipun ia adalah pendedahan peringkat global, tetapi spesifikasi, beberapa maklumat terperinci dan harga hatchback tersebut masih belum dinyatakan.

Sama seperti kembarnya Perodua Axia, Agya dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang memberikan prestasi pemanduan, kecekapan dan keselesaan lebih baik, selain menampilkan saiz lebih besar.

Dari hadapan, Toyota Agya ditampilkan dengan kluster lampu mirip seperti Axia dan didatangkan dengan jalur LED lampu panduan di bahagian atas, manakala untuk Axia, ia berada di bawah.

Gril Agya direka seperti gril Toyota Yaris pasaran Jepun, manakala bahagian bampar pula disertakan dengan lampu nyalaan siang seperti Perodua Myvi facelift.

Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan hot hatch GR Yaris dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, ditambah rekaan spoiler pada bahagian bawah.

Agya GR Sport juga didatangkan dengan skirting sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan kemasan hitam berkilat pada cermin sisi.

Model standard dipadankan dengan rim aloi berwarna perak bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona. Untuk bahagian sisi, terdapat garisan sisi yang sama seperti Axia D74A.

Bahagian belakang Agya dan Axia kelihatan tampil hampir sama sahaja, ia cuma dibezakan dengan logo jenama masing-masing.

Masuk ke ruang kabin, terdapat papan pemuka sama dengan Axia yang hanya dibezakan dengan perincian kecil seperti panel kawalan pendingin hawa, tidak diberikan dua slot memori selain rekaan yang sedikit berbeza berbanding Axia.

Agya untuk pasaran Indonesia cuma menerima meter kelajuan analog dan skrin info TFT pada sebelah kanan. Sebagai perbandingan, model tertinggi Axia hadir dengan skrin instrumen TFT 7-inci.

Skrin infotainmen yang berada di tengah papan pemuka itu mendapat sokongan Apple CarPlay. Walau bagaimanapun, tiada pendedahan dibuat untuk ruang kabin Agya GR Sport. Tetapi kita boleh menjangkakan varian GR Sport bakal ditawarkan dengan paparan instrumen digital penuh.

Dari segi kuasa, hatchback ini mungkin akan dikuasakan oleh enjin baharu generasi baharu WA-VE 1.2L tiga silinder, sama seperti digunakan oleh Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

Enjin itu mampu menghamburkan kuasa sebanyak 86hp dan tork 112Nm yang disalurkan melalui transmisi D-CVT. Agya 2023 juga ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan.

Google ads
Back to top button