Artikel PilihanBuletin

MODEL-MODEL MENARIK DAIHATSU DI TOKYO AUTO SALON 2021

Tokyo Auto Salon 2021 telah dibatalkan akibat peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh dunia tetapi pengeluar kereta terlibat masih lagi boleh mempamerkan model-model keluaran mereka secara atas talian. Antara yang paling menarik ialah 5 model kei jidosha daripada Daihatsu termasuklah sebuah kenderaan rekreasi kecil yang diasaskan daripada Daihatsu Hijet generasi kedua.

Hijet camper comel ini dihasilkan sempena ulang tahun ke-60 Daihatsu Hijet dan dihasilkan bertemakan Hijet generasi kedua yang dikeluarkan pada tahun 1964. Ia dinamakan Daihatsu Hijet Jumbo Camper Ver dan diasaskan daripada Hijet Jumbo terkini. Menariknya rupa parasnya disolek agar menyerupai Hijet generasi kedua yang memang comel habis.

Bahagian gril hadapan dan lampu-lampu utama memang menyerupai Hijet generasi kedua begitu juga dengan rekaan rimnya. Akhir sekali ia dilengkapkan dengan rak Safari dan kanopi yang menyerupai sebuah camper. Ia mungkin bukan camper yang paling ideal tetapi ia masih merupakan sebuah camper yang paling comel di pasaran.

Daihatsu Hijet Jumbo Sporza Ver

Ini merupakan antara produk paling unik yang menggunakan asas yang sama. Bumbung Hijet Jumbo dipotong terus dan ia dijelmakan menjadi sebuah speedster yang sedia untuk beraksi di litar. Ia dilengkapi dengan cermin hadapan separuh dan fairing pada bahagian perehat kepala. Bahagian bed belakang diubahsuai sekaligus membuatkan ia kelihatan seperti rekaan unibody dengan paip ekzos di bahagian sisi.

Ia kemudiannya disudahkan dengan layangan cat bertemakan perlumbaan lengkap dengan rim TE37 dan angka 60 yang merujuk kepada tema ulangtahun Hijet. Best ni layan drift sambil hantar sayur.

Daihatsu Copen Spyder Ver

Ini pula ialah model khusus untuk peminat model sport. Diasaskan daripada Daihatsu Copen Cero tapi kali ini bumbung dibuang terus dan digantikan dengan cermin separuh ala speedster agar kelihatan lebih retro. Suspensinya direndahkan sedikit dan turut dilengkapkan dengan rim popular TE37 agar kelihatan lebih sporty.

Tiada perubahan dari segi prestasi tetapi ketiadaan bumbung semestinya mengurangkan lagi berat keseluruhan kompak sport ini.

Daihatsu Taft Crossfield Ver

Diasaskan daripada Daihatsu Taft tetapi kini diberi solekan ala outdoor siap dengan kelengkapan overland seperti rak safari, light bar, winch dan macam-macam lagi. Tapi sama macam Copen, mustahil ada naik taraf dari sudut prestasi kerana peraturan kuasa maksima kei car yang kita sedia maklum.

Daihatsu Thor Premium Ver D-Sport

Dengan kata lain ini adalah sebuah Daihatsu Thor yang lengkap dengan segala kelengkapan tuner moden antaranya ialah tayar yang besar gedabak, aerokit agresif, spoiler belakang yang melengkapkan gaya VIP kegemaran generasi muda. Tapi serius Thor ni memang lawa dan kelihatan tidak kalah walaupun diletakkan di sebelah Alphard model terbaru.

Semua model ini dan model-model lain akan didedahkan secara virtual pada 15 Januari ini jam 9.00 pagi. Tunggu je.

Google ads
Back to top button