
MODEL VINTAJ BUGATTI CATAT REKOD, ADA YANG LEBIH RM31 JUTA!
Sesetengah kenderaan vintaj terutama sekali dari pengeluar ternama boleh dijual pada harga luar biasa. Di antaranya Bugatti dengan bukti terbaru ditunjukkan sebuah model Type 57C Aravis ‘Special Cabriolet‘.
Harga? AS$6,605,000 (RM31,324,471)! Angka itu mencatat rekod dunia dan jauh lebih tinggi daripada jangkaan asal dari AS$2,500,000 sehingga AS$3,500,000 (RM11,856,821 – RM16,599,550).
Kereta itu hanya satu dari sejumlah barangan Bugatti dan Mullin Collection yang ditawarkan pada sesi bidaan Gooding & Company baru-baru ini.
Sebuah basikal (Bugatti Bicycle by Art Stump) yang dibuat dari lukisan Ettore Bugatti) laku dibida pada harga AS$18,750 (RM88,922).
Barangan berharga Mullin Collection diambil dari Muzium Automotif Mullin di Oxnard, California, Amerika Syarikat.
Muzium itu terkenal kerana menghimpunkan sejumlah kereta klasik dan art deco Perancis dan banyak lagi barangan berharga.
Di sebalik koleksi tersebut Muzium Mullin ditutup selepas pemergian pengasasnya, Peter Mullin pada September 2023.
Di antara koleksi muzium seperti lebih 75 perabut dari Carlo Bugatti dan sejumlah arca Rembrandt. Muzim itu juga mempunyai koleksi peribadi terbesar kereta Ettore dan Jean Bugatti di dunia.
Untuk satu tempoh yang lama, Type 57SC Atlantic 1936 hasil rekaan Jean Bugatti menjadi sorotan muzium.
Type 57C Aravis yang dijual hanya satu daripada tiga buah yang menggunakan badan dari Gangloff dan masih wujud sehingga hari ini.
Kereta itu dipesan oleh wakil Bugatti di Avignon, Perancis untuk pelumba kereta Bugatti, Maurice Trintignant. Beliau juga berlumba untuk pengeluar ternama lain.
Type 57C Aravis yang dipesan menggunakan enjin 3.3 liter sesondol berkembar, lapan silinder sebaris dan menggunakan pengecas lampau (supercharger).
Walaupun model itu asalnya dibangunkan sebagai kereta jalanan berprestasi tinggi, Tintignant menggunakannya untuk berlumba pada 1939 dan memenangi tempat ke-11.
Selepas Trintignant, kereta langka itu beberapa kali bertukar tangan dan dari 1947 sehingga 1964 pernah dilanggar dan dibaiki dan pengecas lampau ditanggalkan. Pengecas lampau dipasang kembali!
Type 57C Aravis dengan nombor casis 57768 akhirnya berada di bawah pemilikan Mullin Collection pada 2002 dan dihantar ke Sargent Metal Works untuk dibaik pulih dan pada 2005.
Peter dan Merle Mullin turut menemui pemilik asal, Maurice Trintignant dan beliau beberapa kali berkunjung ke California semasa proses baik pulih untuk memastikannya dibuat mengikut keadaan asal.
Selain Type 57C Aravis ada lagi koleksi yang memecahkan rekod dunia sebagai contoh sebuah Type 46 Semi-Profilée Coupe dibida pada harga AS$1,105,000 (RM5,240,608).
Satu lagi perkara menarik, bukan kereta yang siap dibaik pulih dan cantik sahaja malah kereta yang dalam keadaan asal dan belum dibaik pulih menerima harga bidaan tinggi.
Sebagai contoh Bugatti Type 40 ‘Break de Chasse‘ 1927 dibida pada harga AS$445,000 (RM2,110,316).
Bugatti Type 57 Ventoux 1936 dibida pada harga AS$511,000 (RM2,423,435) dan Type 40A Roadster 1931 pada harga AS$302,000 (RM1,432,184).