
MODIFIKASI UNIK GARAGE TOPSPEED – DARIPADA G350 KE W460
Mengubah reka bentuk kereta yang lama kepada baharu mungkin sudah dianggap biasa dewasa ini. Contoh mudah adalah perubahan rupa bentuk daripada Toyota Alphard AH20 kepada model AH40 yang lebih moden. Asal ada duit orang kata.
Tapi yang ini memang lain daripada yang lain. Sudahlah model yang dipilih untuk menjalani proses modifikasi ini dianggap mahal. Siap boleh ubahsuai kepada model zaman silam daripada model moden yang dibeli masa kini.

Ini adalah sebuah model G-Class versi moden yang telah berubah rekaan kepada model W460 keluaran tahun 1979 yang dianggap sebagai sebuah model G-Wagon yang cukup lagenda ini.
Sedikit sejarah untuk diungkap, model W460 ini telah pun diperkenalkan kepada umum di Toulon Perancis pada tahun 1979 dengan beberapa pilihan varian badan kenderaan untuk dipilih dan juga trenkuasa. Dan tahukah bahawa rekaan asas tahun 1979 ini terus bertahan sehingga kini bagi mengekalkan identiti asal G-Wagon ini.
Bersempena dengan Tokyo Auto Salon KL, model ini juga sebenarnya turut diterbangkan khas dari Jepun oleh tuner Garage TopSpeed untuk dipamerkan. Tapi melihatkan ruangan model ini dipamerkan seperti tidak mendapat tumpuan. Maklumlah bukannya kereta sport.
Tapi model ini sebenarnya sentiasa mampu menarik perhatian warga emas yang lain untuk melihatnya dengan lebih dekat depan mata.

Bahagian luarannya telah menggunakan layangan warna klasik Aegean Green untuk tampil seperti model keluaran W460 yang asal. Gril asal telah digantikan dengan rekaan gril berbilah halus yang mempunyai tona warna serupa dengan warna badan.
Rekaan lampu utama juga digantikan dengan perumah lampu asal yang berkotak berwarna hitam serta mempunyai jeriji halus untuk melindunginya daripada sebarang anasir luar. Perumah lampu isyarat membelok juga digantikan dengan keluaran asal berwarna kuning.
Perbezaan paling ketara rupa luaran adalah ruangan arca roda yang lebih tipis dan halus berbanding model terkini yang mempunyai ruangan yang lebih lebar dan terkeluar jika dilihat dari sudut belakang. Rim asal jenis kompang bersaiz 16 inci lengkap dengan penutup logo Mercedes membuatkan penampilan klasik model ini lebih menyerlah.
Cermin sisi gaya retro dengan pembolehubah menggunakan tenaga manual tangan turut digantikan. Dan dibahagian belakang juga boleh dilihat kesan gaya retro seperti penggunaan lampu dan juga balutan material kain bagi menyembunyikan tayar simpanan.

Di bahagian kabin, Garage TopSpeed telah memilih fabrik bercorak kotak dengan skema warna yang sama dengan luaran untuk memberikan identiti klasik senada.
Entah berapa ribu Yen pulak si Garage TopSpeed ni perabih duit nak jadikan ianya sebuah gaya retro sebegini. Yang penting masih lagi kelihatan cantik.
BACA : G-CLASS W465 ISTIMEWA DARIPADA URBAN AUTOMOTIVE – WIDETRACK DAN AERO KIT
BACA : MERCEDES BENZ G-CLASS EDITION STRONGER THAN 1980s. KEMAIN PANJANG NAMA DIA

