Artikel Pilihan

MOOSE TEST. UJIAN WAJIB AGAR KERETA ANDA TIDAK TERBALIK

Moose merupakan sejenis mamalia dalam kategori rusa dan bersaiz sangat besar hingga mampu mencapai berat sehingga 700 kilogram dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2.1 meter. Tahukah anda bahawa Moose mempunyai satu sifat iaitu Moose ini tidak akan teragak-agak untuk terus melintas jalan meskipun terdapat kenderaan yang lalu lalang. Hati kering beb

Jika terserempak dengan haiwan ini, pemandu dinasihatkan untuk menekan brek sekuat hati dan mengelak dari melanggar Moose dengan memandu di bahagian belakang haiwan terbabit jika terlibat dengan situasi di atas. Brek, elakkan Moose dan kembali semula ke laluan asal. Jika terlanggar moose, ia akan menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang kereta

Atas sebab ini, satu ujian telah diperkenalkan bagi menguji tahap pengendalian serta kestabilan kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar kenderaan di seluruh dunia dan ujian ini diberi nama ‘Elk Test’ ataupun lebih dikenali sebagai ‘Moose Test’. Volvo dan SAAB mengambil kira aspek pelanggaran Moose ketika membangunkan kereta baru mereka.

Ujian ini perlu dilakukan di atas permukaan jalan yang kering. Kon akan diletak dalam sususan berbentuk ‘S’ untuk mensimulasi halangan di permukaan jalan yang berhalangan. Kereta juga akan dipandu penuh dengan penumpang serta ruang kargo akan dimuatkan dengan muatan penuh. Kelajuan kenderaan akan dimalarkan pada 70 hingga 80 km/j bagi ujian ini.

Ujian ini akan dibuat sehingga kereta yang diuji dimulakan dengan halaju minima dan halajunya akan dinaikkan sedikit demi sedikit sehinggalah kereta mulai terbabas, tergelincir, melanggar kon atau berpusing ketika ujian pada halaju maksima. Semakin tinggi halajunya, semakin bagus prestasi kereta tersebut dalam ujian ini.

Ujian ini telah digazetkan dalam International Standard Organization (ISO 3888-2 dan diadaptasi oleh negara lain. German menamakan ujian ini sebagai Elk Test, manakala Australia menggunakan ujian ini untuk mengelakkan kangaroo di negara mereka. Kami rasa Malaysia patut membuat ujian ini bagi mengelakkan lembu, kambing, biri-biri, kucing, dan anjing yang melintas jalan dengan tiba-tiba.

Kereta yang paling mudah terbalik dalam ujian ini ialah Reliant Rialto iaitu kereta 3 tayar yang menjadi musuh Mr Bean. Ia hanya mampu dipandu selaju 42.5km/j semasa ujian. Rekod paling laju ketika ini dipegang oleh Citroen Xantia Active V6 dengan halaju 85km/j yang mengalahkan Porsche 911 GT3 RS 2008 dan juga McLaren 675L.

1. Toyota Hilux 2016

Jangan terkejut, trak yang terkenal seantero dunia ini telah gagal dalam Moose Test yang dilakukan pertama kali pada tahun 2007. Beberapa penambahanbaikan telah dilakukan terhadap model ini oleh pihak Toyota namun ketika ujian kali kedua pada tahun 2016 menggunakan model yang terkini, hasilnya tetap sama. Hilux gagal dalam ujian ini meskipun Hilux dinobatkan sebagai trak yang paling lasak dalam dunia.

Navara, D-Max, Ranger, Dodge Ram dan Triton lulus dengan baik dalam ujian ini. Jadi buat pemilik Hilux, berhati-hati ketika memandu. Jangan rasa power sangat ye sebab pada 59 km/h ia hampir terbalik.

2. Mercedes A Class 1997

Moose test telah dilakukan pada tahun 1997 ini di Sweden telah mengejutkan dunia apabila ia telah terbalik ketika ujian dilakukan pada kelajuan 60 km/j. Kejadian ini telah menyaksikan penambahbaikan dilakukan serta merta oleh pihak Mercedes dengan memanggil semula kenderaan yang telah dijual serta memasang Electronic Stability Control (ESP) pada model A Class pada ketika itu dan generasi yang seterusnya.

3. Jeep Grand Cherokee (2012)

Ketika ujian ini dilakukan pada tahun 2012, kedua dua tayar di sebelah kanan kenderaan telah terangkat di udara dan kejadian ini berlaku pada kelajuan 63 km/j iaitu kurang dari kelajuan yang ditetapkan untuk Moose Test (sekitar 70-80 km/j)

4. Ford Focus 2015

Walaupun ia merupakan kereta kegemaran penulis kerana ia dilengkapi dengan sistem suspensi belakang yang dinamakan Control Blade, namun Focus gagal dalam ujian ini pada halaju 68km/j dengan beban seberat 140kg. Jika Focus tidak membawa beban, ia boleh melepasi ujian ini pada halaju 76km/j. Okey, kalau anda memandu Ford Focus, jangan bawa laju laju ketika membawa ramai orang.

Biarkan Bezza tersebut memotong anda. Lagipun pemandu Bezza tu dah puas hidup dan baru putus tunang.

5. Hyundai i30 Wagon 2015

Ya kami tau kereta ini memang tidak dijual di Malaysia tapi nak tunjuk bagaimana jenama antarabangsa pun berpeluh nak lepasi ujian ini. i30 wagon. Ketika ujian dimulakan pada halaju 70km/h, memang bersepah i30 ini pergi selepas selekoh pertama. Ia hanya boleh dipandu pada halaju maksimum 65km/j sahaja ketika ujian

6. Mercedes C350 Hybrid 2015

Model C350 ini bukan gagal, tapi tidak berjaya mendapat skor yang baik ketika ujian dijalankan. Ujian pertama dijalankan pada halaju 72km/j dan C350 membuang bahagian belakang dengan terbabas ke kiri dan juga kanan. Ia merupakan sebuah kereta premium, bukan kereta kompak loan 9 tahun. Pada 64km/j barulah kereta ini lulus ujian, kurang 1km/j berbanding i30

7. Porsche Macan 2014

Ia merupakan sebuah SUV buatan Porsche iaitu syarikat yang sama menghasilkan supercar 918 Spyder. Jadi sudah pasti ia akan melepasi ujian ini dengan mudah. Maaf Macan ini memberi reaksi yang pelik ketika ujian dilakukan mengikut spesifikasi ujian Sweden. Beban 150kg telah diletakkan dalam kereta ketika ujian dilakukan.

Apa yang berlaku ialah tayar depan Macan terkunci rapat ketika melalui selekoh pertama dan stering gagal menerima arahan daripada pemandu ujian yang menyebabkannya terbabas ke tepi.

8. Nissan Kicks 2018

Kami meminta maaf kerana kami perlu melaporkan perkara yang sebenar. Nissan Kicks iaitu crossover popular buatan Nissan menjalani ujian dengan spesifikasi Sweden menunjukkan ia hampir terbalik (roll over) walaupun ujian dilakukan pada halaju 66km/j sahaja dengan sistem ESC dimatikan.

Jadi jika anda memandu crossover atau SUV, jangan memandai nak tutup sistem ESC ya.

9. Suzuki Jimny 2019

Salah satu masalah Suzuki Jimny ialah ia hanya menggunakan tayar yang kurus, tinggi serta saiznya tidak cukup lebar menyebabkan ia mudah terbalik. Cubaan paling selamat ketika ujian ini ialah 68km/j sahaja namun kita boleh lihat tayar depan sudah berubah bentuk dan mengalami understeer. Namun penulis sangsi adakah pemandu biasa boleh melepasi halaju tersebut.

Google ads
Back to top button