Buletin

WARGA PAHANG TIDAK DIGALAK RENTAS DAERAH UNTUK ZIARAH AIDILFITRI

Warga Pahang tidak digalakkan untuk melakukan pergerakan rentas daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang ketika sambutan Aidilfitri, hujung bulan ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berikutan sukar untuk pihak polis memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan pihak kerajaan.

Biarpun begitu, aktiviti ziarah Aidilfitri di rumah jiran yang terletak dalam kawasan taman perumahan sama boleh dilakukan dengan mengawal kunjungan tetamu supaya tidak terlalu ramai.

“Aktiviti ziarah Aidifitri antara daerah dengan daerah tidak digalakkan sama sekali kerana ia membabitkan jarak jauh. Ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan Covid-19 di kawasan taman terbabit.

“Saya ingin menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penularan jangkitan wabak Covid-19 tidak berlaku.

“Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak pendamik yang belum selesai,” katanya.

Mohamad Noor berkata demikian ditemui pemberita selepas melakukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPB membabitkan beberapa premis perniagaan dan pusat membeli belah di sekitar bandar Kuantan, semalam.

Mengulas pemantauan pematuhan SOP PKPB di premis perniagaan, beliau menyatakan pihak pengurusan pusat membeli belah dan premis perniagaan dilihat berjaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kerajaan Pahang.

Menurutnya, mereka melaksanakan langkah keselamatan dengan baik sepanjang operasi premisperniagaan dengan menampal notis bilangan pelanggan yang dibenarkan masuk, ujian saringan badan, penyediaan cecair pembasmi kuman dan memastikan pelanggan dan pekerja memakai pelitup.

“Saya berpuas hati dengan SOP yang dipatuhi. Namun kita akan terus pantau supaya orang ramai dapat mematuhi garis panduan sepanjang masa, bukan hanya ketika anggota polis ada sahaja.

“Jika ada yang ingkar dan degil, nasihat serta amaran akan diberikan. Tindakan undang-undang akan dikenakan selepas kita mendapat arahan Ketua Polis Negara,” katanya. – Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button