BuletinMotosikal

MOTOGP USA: “SAYA GAGAL KE PODIUM KERANA CUACA PANAS”- ROSSI

Ia adalah litar yang sukar, dengan selekoh panjang dan ia menyukarkan mana-mana pelumba untuk menghabiskan perlumbaan tanpa sebarang kesilapan. 

Ini diakui oleh pelumba Valentino Rossi yang gagal mendapatkan podium pertamanya pada musim ini. Sejak awal grid perlumbaan , Rossi berada di tempat keempat dan gagal untuk mengejar Ianonne untuk sekurang-kurangnya mencuri podium ketiga.

BACA: MOTOGP AMERIKA, HAFIZH KECUNDANG

Pelumba pasukan Movistar Yamaha itu sedar beliau sukar untuk mengejar Marc Marquez dan Maverick Vinales yang semakin jauh di hadapan dan cuma berharap untuk mencuba nasib di tempat ketiga.

Bagaimanapun, cuaca panas pada perlumbaan menyebabkan beliau mengasak jentera ke tahap maksimum namun kekal di tangga keempat sehingga bendera penamat dikibarkan. Beliau ketinggalan hampir tiga saat di belakang Iannone.

“Ia adalah hujung minggu yang bagus, sebab saya sentiasa berada di tempat kelima teratas. Namun dalam perlumbaan sebenar, saya harap dapat buat lebih baik dan bertarung untuk mendapatkan podium.

“Saya sedar Marquez dan Maverick memang pantas tapi saya masih berharap dapat mengejar Iannone untuk podium ketiga. Pun begitu, Andrea lebih laju dan saya tak mampu untuk mengejarnya.

“Saya harap dapat buat 2 minit 5.5 atau 6 saat sebab pada Jumaat dan Sabtu tengahari, saya berada pada posisi tersebut. Sepatutnya pada posisi ini, saya dah boleh dapat podium. Memang saya sasarkan podium.

“Tapi malangnya, saya terpaksa bertarung dengan suhu panas, terutamanya tayar depan.

“Tak pernah rasa begini waktu latihan dan ujian kelayakan. Tapi waktu perlumbaan sebenar, terutamanya pada selekoh laju, saya memaksa motosikal ke hadnya. Jadi, saya terpaksa perlahankan kelajuan dan cuba berada rapat dengan Iannone untuk podium. 

“Namun beliau lebih pantas dan saya tak berdaya mengejarnya,” ujar Rossi.

Seperti kebanyakan majoriti pelumba lain, termasuklah tiga pemenang podium, Rossi memilih tayar kompaun medium di bahagian roda depan.

 

 

 

 

 

Google ads
Back to top button