Sejak mengambil alih hak pemasaran Harley Davidson dari Kumpulan Naza pada awal tahun ini, Didi Resources telah berusaha keras untuk mengenengahkan jenama ini. Mereka lebih kerap bertemu dengan pihak media berbanding pemegang jenama itu sebelum ini.
Sewaktu sesi tunggang uji motosikal Harley Davidson Malaysia ke Melaka semalam, kami telah didedahkan tentang banyak perkara mengenai motosikal ini.
Motosikal Recond
Tidak seperti kebanyakan jenama lain yang “mengenepikan” motosikal yang dibeli dari pengimport terpakai/recond/grey importer, Harley Davidson Malaysia mengalu-alukan kedatangan motosikal ini ke pusat servis kerana mereka juga tertakluk kepada tanggungjawab “sosial” terhadap jenama premium tersebut.
Khususnya apabila berlakukan panggilan semula (recall) apabila ia melibatkan soal keselamatan.
“Kami tidak berkompromi kerana apabila berlaku recall (panggilan semula) terutamanya soalan keselamatan (safety), ia perlu dilakukan walau di mana sahaja anda membeli motosikal”, Ujar Koh Jyh Woei, District Manager of Harley-Davidson Asia Emerging Markets (AEM)
“Jika ia adalah recall soal keselamatan (sahaja), kami akan membantu mereka membuat penggantian peralatan atau pembaikan sekiranya perlu. Ia dilakukan secara percuma. Tak kira dari mana membeli motosikal Harley anda,” ujar beliau lagi.
Menurut Koh juga, mereka menggalakkan pembelian terus dari pengedar sah di Malaysia. Selain mendapat jaminan pengeluar, spesifikasi yang diedarkan adalah berdasarkan keperluan standard Harley Davidson yang ditetapkan mengikut keperluan benua pasaran.
Motosikal terpakai di pasaran bergantung dari mana ia diimport masuk. Namun secara dasarnya, ada tiga sumber utama yang biasanya dijual oleh pengedar “recond” tempatan iaitu dari;
- Amerika Syarikat
- Jepun
- UK
“Ada beberapa kelemahan yang kami kesan dalam pasaran motosikal import terpakai ini.
“Motosikal dari USA misalnya, kebanyakan yang kami temui di sini ialah motosikal monotone, satu warna sahaja, samada hitam atau krom. Satu tema.
“Ini kerana kebanyakan motosikal ini adalah motosikal sewa di sana. Ia kemudiannya dibeli secara “borong” dalam pusat lelongan di AS dan dijual di pasaran terpakai negara-negara lain di dunia, termasuk Malaysia.
“Kami kerap menerima kunjungan motosikal recond ini untuk diservis. Sebagai pengedar sah Harley, kami mempunyai sistem yang boleh memeriksa sejarah penyelenggaraan motosikal tersebut berdasarkan kod chasis. Kami boleh tahu dari mana ia datang, keluaran negara mana dan bila servis terakhirnya.
Menurut Koh, ada kalangan motosikal ini yang telah “diganggu” meter perbatuannya (mileage). Meter yang ditunjukkan pada motosikal berbeza dengan sistem yang mereka ada.
“Sudah tentu, ia motosikal sewa dan anda takkan dapat mileage rendah dari sebuah motosikal sewa.
Bagi Jepun pula, ia sedikit berbeza berbanding spesifikasi antarabangsa yang lain. Contohnya, hub roda belakang spec Jepun datang dengan perumah bersalut getah. Ini kerana peraturan ketat bunyi di sana memerlukan Harley mengubah spesifikasi khusus untuk pasaran Jepun.
“Ia tiada masalah, namun jika penggantian komponen diperlukan, hanya Harley Jepun sahaja yang ada peralatan ini. Tidak di Malaysia, tidak di negara lain di dunia yang menggunakan hub mekanikal.
“Atau, anda boleh menukarkan keseluruhan sistem ini kepada sistem standard spec umum namun belanjanya tidak murah.
Harley Davidson Malaysia kini mempunyai tiga cawangan utama di Petaling Jaya, Melaka dan Pulau Pinang. Ketiga-tiga cawangan ini menepati standard yang ditetapkan oleh Harley USA.
Ia mempunyai pusat pameran yang komprehensif, pusat servis dan jualan alatganti serta aksesori asli Harley Davidson.
Seperti yang diberitahu, mereka menerima semua model Harley Davidson tak kira samada ia dibeli menerusi pengedar sebelum ini, pengedar recond atau dibawa masuk secara persendirian.