Artikel Pilihan

MPV BESAR JEPUN YANG SANGAT MAMPU MILIK – HONDA LA GREAT

Jika bercakap tentang MPV besar Honda, secara automatik kita terbayangkan Odyssey. Bagi pengkaji MPV pula mungkin akan memetik nama Elysion. Ia antara MPV Honda yang popular di Jepun dan untuk Odyssey, ia dipasarkan keseluruh dunia dengan berbagai versi walaupun dari generasi yang sama.

Odyssey adalah MPV Honda pertama yang diperkenalkan pada 1994 – sebagai tindakbalas kepada Toyota Estima yang diperkenalkan lima tahun sebelumnya. Sebelum wujudnya terma “MPV” ini, industri masih mengenalinya sebagai minivan, kerana kenderaan tersebut dihasilkan menerusi kerangka ladder frame (Liteace, Vannete, Econovan, Bongo)

BACA: 5 MPV SAIZ PENUH YANG KINI CUMA RM50K

Odyssey dan Estima berjaya mengubah pengendalian sebuah van kepada MPV yang direka sepenuhnya sama seperti pelantar sebuah kereta. Ia jauh lebih selesa, pengendalian yang stabil dan ekonomikal. Tiada lagi kepanasan enjin di bawah punggung, suspensi pegas dedaun yang melantun-lantun dan membuai-buai bila dipandu laju.

Model pertama Odyssey (RA1-RA5) dikeluarkan sekitar tahun 1994 hingga 1999. Kemudian, ia digantikan dengan model RA6 pada 1999-2003 sebagai generasi kedua.

Kedua-dua generasi ini bagaimanapun kekurangan satu fungsi berbanding Toyota Estima iaitu pintu gelungsur (sliding door).

Honda terpaksa memikirkan jalan keluar untuk konfigurasi ini.

Di Jepun, pintu konvensional lebih popular tetapi di benua Amerika, mereka lebih cenderung kepada pintu gelungsur. Sebagai jalan penyelesaiannya, Honda membangunkan dua model berbeza untuk Odyssey generasi ketiga.

Bagi pasaran Jepun dan dunia lain, ia dikenali sebagai Odyssey RB1 sementara untuk Benua Amerika, ia adalah Odyssey RL1 (LaGreat).

RB1. Odyssey pertama dengan konsep bumbung rendah untuk pasaran Jepun dan selain Amerika.

Jepun masih mendapat pintu biasa (RB1) sementara Amerika mendapat pintu jenis gelungsur dengan badan yang masih tipikal sebuah MPV, besar dan tinggi.

Ini pula Odyssey RL1 untuk pasaran Amerika tetapi turut dijual di Jepun. pintu belakangnya jenis gelungsur

HONDA LA GREAT

Kita akan bercakap tentang model ini – kembar RB1 dari Amerika.

Jika RB1 seperti sebuah super wagon dengan tujuh tempat duduk, dalam tahun yang sama Honda Amerika memperkenalkan RL1 (yang dikenali sebagai LaGreat di Jepun)

Tetapi yang menariknya, di Jepun pada masa ini, pembeli boleh memilih untuk membeli sebuah Odyssey RB1 yang sporty atau sebuah MPV saingan Toyota Estima ACR30 yang besar – LAGreat. Dan model inilah kemudiannya akan masuk ke Malaysia dalam versi recond.

BACA: 5 MPV RM50K PILIHAN MEKANIKA

LaGreat dipasang di kilang Honda Kanada dan dieksport ke Jepun dengan spesifikasi pemanduan sebelah kanan.

Dari segi konfigurasi, LaGreat adalah MPV yang terbaik dalam eranya.

Toyota Estima hanya mencipta rekaan “longkang” pada ruang kargo di belakang pada 2006 menerusi model ACR50. LaGreat sudah membuatnya pada 1999 (sama seperti Mazda MPV LW5W generasi kedua)

Ruang kargo yang cukup besar bagi standard sebuah MPV tujuh tempat duduk

LaGreat pernah dibawa masuk dalam jumlah yang kecil oleh pengimport kereta recond dari Jepun. Pada hari ini, harga pasarannya sangat mengujakan khususnya bagi anda yang mahu sebuah MPV terpakai yang cukup besar dan selesa.

Semakan kami sejak beberapa tahun lepas mendapati, harga pasaran untuk model tahun 1999-2002 berada dalam lingkungan RM20,000 sahaja.

Ya. ia cukup murah bagi sebuah MPV jenama Jepun dalam lingkungan usia bawah 20 tahun.

Apa yang menyebabkan harganya jatuh mendadak?

Berbeza dengan RB1 dengan enjin K24 2.4L, LaGreat dikuasakan oleh enjin 3.5L V6. Dan bagi sebuah negara yang masih mengira cukai jalan berdasarkan cc enjin kenderaan, bayaran tahunan cukai jalan untuk LaGreat ialah sekitar RM2,400 setahun atau RM200 sebulan.

Itu menjadikan pasaran terpakai LaGreat sedikit terjejas. Namun jika anda mampu, LaGreat masih lagi dalam pilihan terbaik dari segi saiz.

Kesemua varian didatangkan dengan kerusi bersalut kulit, pintu gelungsur berkuasa dikedua-dua belah dan sunroof sebagai peralatan standard.

BACA: PENING NAK PILIH MPV?

Satu yang menarik tentang LaGreat, enjin 3.5 V6 J35 ini telah ditala cukup baik. Ia menghasilkan sekitar 210 kuasa kuda dan 310Nm tork.

Walaupun J35 ini secara dasarnya sebuah enjin yang khusus untuk pasaran Honda Amerika (Accord, MDX, Ridgeline), Di Jepun, ia masih digunakan oleh model-model lain seperti Accord 3.5 dan Elysion.

Kebanyakan alatganti LaGreat boleh ditukar pakai sesama model ini dan sepertimana kereta-kereta jenama Honda yang lain, alatgantinya masih dijual dengan meluas.

Jika berlaku masalah major seperti kotak gear, rak stering atau kepala selinder, peralatan gantiannya masih boleh diperolehi di kedai-kedai potong (half-cut). Tapi jika kedai half-cut pun kau tak pernah pergi. baik berhenti baca artikel ni dan pergi kedai beli BR-V.

PENYELENGGARAAN

Ia adalah tipikal jenama Jepun yang tak banyak kerenah. Jika anda bercadang hendak memiliki sebuah, paling penting ialah mencari yang bebas kemalangan. MPV ni bukan macam kereta. Kalau yang dah kemalangan teruk, pengendalian dia memang tak sedap langsung dan masalah-masalah lain akan berbangkit di kemudian hari.

Jika perbatuan tinggi, lebih baik tukar semua peralatan pakai lusuh (wear & tear). Bawa mekanik yang pakar untuk melihat kereta sebelum dibeli. Buat pengiraan awal kos-kos yang terlibat untuk merestorasi sepenuhnya MPV ini dan lihat samada ia berbaloi ataupun tidak dengan harga jualan.

ALATGANTI

Ia masih boleh diperolehi di kedai half-cut (terpakai) dan juga alatganti baru di kedai-kedai spare-part tempatan. alatganti seperti kompressor pendingin hawa, pam stereng kuasa boleh dibeli terpakai atau dibaiki dengan kit pembaikan.

Boleh juga cari secara online di yahoo auction Jepun menggunakan proksi seperti Crooober.

BACA: MPV CHERY EASTAR YANG MENGHILANG

Dan anda juga boleh cuba di laman jualbeli ebay.com yang memang ada banyak lagi alatganti baru dan terpakai dari Amerika.

KESIMPULAN

Beli MPV besar begini kebanyakan masanya anda akan pandu untuk perjalanan jauh dan untuk seisi keluarga. Kalau semata-mata nak beli sebuah yang ini dan dipandu setiap hari, lebih baik jangan. Ia tak ekonomikal langsung.

Dan yang paling penting, anda perlu jadi seorang petrol head untuk membeli dan menyelenggara sebuah kereta terpakai. Kalau runsing pasal rosak, tak tahu nak usaha cari barang, tak berkawan dengan bengkel, lebih baik lupakan.

 

Google ads
Back to top button