Buletin

LAPORAN ITU TIDAK BETUL, KAMI AKAN HASILKAN BR-Z – SUBARU

Baru-baru ini timbul laporan bahawa Toyota dan Subaru mungkin akan membatalkan projek model 86 atau BR-Z generasi kedua.

Khabar angin itu dikuatkan lagi apabila Toyota dan Subaru dilapor telah mengasingkan polisi pembinaan kenderaan mereka dan memilih haluan sendiri.

“Jadi, kami fikir Toyota mungkin sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan kembali model MR2,” lapor Japanese Nostalgic Car.

Berita berkenaan nyata mencemaskan para peminat kereta sports pacuan roda belakang yang memang terkenal dengan pengendalian mantap itu.

Sedia maklum, selepas tujuh tahun diperkenalkan, model hasil kerjasama di antara Subaru dan Toyota itu tidak banyak menerima penambahbaikan. Sehingga kini, masih belum ada enjin turbo atau rangkaian kuasa lebih power dipasang padanya.

Bagi meredakan keadaan, Subaru mengesahkan ia akan tetap menghasilkan BR-Z baharu. Jurucakap Subaru USA, Ron Kino memberi maklum balas yang ringkas tetapi padat.

“Kami tidak mengesahkan laporan dari Jepun itu. Sebaliknya kami akan menghasilkan BR-Z generasi seterusnya, cuma buat masa sekarang, masih belum ada perinciannya,” kata Kino.  

Memandangkan Toyota dan Subaru menafikan jentera itu akan dikeluarkan dari portfolio produk mereka, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa model baharu BR-Z atau 86 akan dikeluarkan apabila tiba masanya nanti.

Hanya apa yang kurang pasti ialah adakah Toyota dan Subaru akan kembali bekerjasama atau sebaliknya. Sama-sama kita nantikan.

Google ads
Back to top button