Buletin

MYMOTOR BAWA MASUK TOYOTA C-HR 1.2 TURBO – HARGANYA TINGGI MENGGAPAI AWAN

Ia mungkin sebuah SUV yang ditunggu ramai sejak debut dunianya dibuat tahun lepas. Di Malaysia, UMW Toyota telah mempamerkan C-HR di Malaysia kali pertama pada Mei tahun lalu di Setia Alam, Selangor. Sejak itu, ramai yang menantikan kehadirannya.

Minggu lepas, UMW Toyota mengumumkan menerusi laman facebook mereka bahawa Toyota C-HR sudah dibuka untuk tempahan. C-HR bakal dibawa masuk dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dengan hanya satu pilihan enjin iaitu 1.8 liter aspirasi biasa (N/A). Sedia maklum bahawa di pasaran lain, Toyota ada menawarkan C-HR dengan enjin 1.2 liter turbo.

BACA: TOYOTA CHR SUDAH BOLEH DITEMPAH

Hari ini, Mymotor.my, laman jualbeli beli kenderaan yang merupakan subsidiari syarikat MYEG telah mengumumkan akan membawa masuk C-HR dengan spesifikasi lebih tinggi kepada bakal pembeli di Malaysia. MOdel yang dimaksudkan, tak lain tak bukan 1.2 turbo.

Enjin empat selinder sebaris 16 injap 8NR-FTS ini menghasilkan 115ps dan 185 paun tork. Berbeza dengan model yang ditawarkan UMWT, Mymotor membawa masuk varian flagship dengan pacuan empat roda (4WD).

Model ini dipecahkan kepada dua varian utama iaitu S-T and G-T. 

Secara asasnya, GT merupakan model lebih tinggi dengan lampu utama LED dan juga rim aloi 18 inci. Sementara ST didatangkan dengan lampu jenis halogen dan rim aloi berdiameter 17 inci.

Varian GT juga didatangkan dengan fungsi blind spot monitor, sensor parkir hadapan dan belakang, kerusi salutan fabrik-kulit yang kesemuanya tidak terdapat pada varian ST.

Menurut MyMotor, kedua-dua model ini diimport penuh dari Jepun dan ianya memang mengikut spesifikasi asal JDM (Japan DOmestic Market) tanpa sebarang penyesuaian kepada spesfikasi Malaysia.

Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Pre Collision System with Pedestrian Detection, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Rear Cross Traffic Alert, Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control dan Lampu Tinggi Automatik.

Sedap bunyinya kan?

Tapi nanti dulu. Abang Japar juga terpaksa mengetuk kepala berkali-kali bila melihat senarai harganya. 

Ia dijual pada harga RM176,000 hingga RM185,000. Sebagai perbandingan, UMWT memberi indikasi harga awal C-HR pada RM145,000. Dan itupun kami rasa tinggi untuk sebuah SUV dalam segmen B (bandingkan dengan Honda HRV, Mazda CX-3 dan Subaru XV)

 

 

 

 

 

 

 

 

Google ads
Back to top button