Artikel Pilihan

MITSUBISHI LANCER WRC – WIRA YANG TELAH MENGHILANG

Kelibat jentera Mitsubishi dengan warna tema Merah yang membaluti badannya cukup digeruni lawan. Kelajuan seumpama tidak mengenal apa itu gaung dan cerun. Tapi kini, Mitsubishi Lancer WRC hanyalah tinggal kenangan.

BACA : EVO TOMMI MAKKINEN INI TERJUAL PADA HARGA RM 259 RIBU!

BACA : SIAPAKAH HERO RALI JEPUN? MITSUBISHI LANCER EVO ATAU SUBARU IMPREZA?

Versi Mitsubishi Lancer WRC terakhir ini dibina oleh Ralliart, cabang permotoran rasmi Mitsubishi. Ianya dibina khusus untuk bertanding dalam saingan WRC bagi musim 2004.

Apa yang menarik mengenainya, Lancer WRC04 ini menggunakan asas enjin lagenda, 4G63 yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. Menggunakan ECU Magneti Marelli,  dapat memastikan kuasa yang maksimum dapat dilepaskan daripada enjin yang berkuasa ini, kira-kira   300 PS (221 kW).

Mengenai paras rupanya, pasti ramai yang menyangka ianya dibina berdasarkan chasis Lancer Evo, seperti mana Lancer WRC2. Namun Lancer WRC04 ini dibina berdasarkan chasis saudaranya, Cedia. Malah, spoiler tiang gol, trademark bagi Evo juga direka dan dipasang lebih ke hadapan berbanding dihujung bonet. Kes nak potong angin lebih barangkali.

Pada musim WRC 2004, pasukan ini telah mengikat pemandu dari Perancis,  Gilles Panizzi selaku pemandu utama dan  Kristian Sohlberg, Giggi Galli serta Daniel Sola yang berkongsi kereta kedua.

Namun, prestasi pasukan ini tidaklah begitu memberangsangkan sebagaimana era Tommi Mäkinen. Sekadar mengutip sahaja dan tiada lagi kedudukan podium.

Bagi musim 2005 pula, versi Lancer WRC05 pula diperkenalkan dengan  ECU dan turbo wastegate yang diperbaharui walaupun masih menggunakan enjin yang sama.

Kali ini, pemandu Finland  Harri Rovanperä dipertanggungjawabkan untuk menjadi pemandu utama disamping Gilles Panizzi dan  Gianluigi Galli yang berkongsi kereta kedua.

Dan prestasi kereta ini agak baik juga dengan Panizzi berjaya memenangi podium pada Rali Monte Carlo. Ianya merupakan kemenangan yang telah lama Mitsubishi rindui. Manakala  Rovanperä pula berjaya meraih mata secara konsisten dalam saingan musim 2005.

Namun pada penghujung musim Mitsubishi Motor Corporation memutuskan untuk menggantung saingan daripada WRC. Dan sesudah itu, ianya diuruskan oleh Ralliart UK secara sendirian menyediakan jentera untuk kegunaan pasukan serta pemandu persendirian.

Kemudiannya MML Sports Limited yang berpangkalan di Daventry England mengambil alih untuk menguruskan jentera lagenda ini agar terus terus beraksi dalam saingan rali tempatan.

Ianya diketuai oleh  John Easton, yang merupakan bekas Pengarah Pasukan Mitsubishi Rally Team. Di bawah seliaan beliau, jentera rali ini telah mengalami beberapa tingkat taraf dan dikenali dengan WRC07.

Dan kini, MML Sports dikenali sebagai pakar bagi jenama Mitsubishi. Jentera ori ini boleh disewa atau untuk dimiliki. Ironinya, jentera ini masih dikekalkan dengan warna asalnya, Merah. Ikon betul warna ini.

Bolehlah nak saing dalam peringkat kebangsaan. Senang-senang aja nak muncul juara podium. Jentera WRC kot. Nak sewa Evo X buat main rali pun MML Sports ini ada sediakan juga. Cuma duit aja tak berapa nak sedia. Haih!

Kredit Foto. mitsubishi-motors.com

Google ads
Back to top button