
MYVI HYBRID NANTI NAK GUNA SISTEM MACAM MANA?
Setelah timbulnya nombor kod projek Myvi yang terbaru, membuktikan yang projek untuk menggantikan Myvi generasi ke 3 kini sedang giat dijalankan. Dalam pameran automotif pada pertengahan tahun 2024 yang lepas, Perodua ada mempamerkan 2 prototaip Perodua Myvi elektrik sepenuhnya
Satu prototaip menggunakan bateri ketumpatan tenaga tinggi NMC (Nickel Manganese Cobalt) dan sat lagi dengan menggunakan bateri LFP (Lithium Ferrous Phosphate). Berbeza dengan mengambil platform yang sedia ada, Perodua sebenarnya merintis jalan yang sukar untuk membangunkan kereta elektrik sendiri
Ini kerana baik Daihatsu ataupun Toyota, masing masing tiada platform dan komponen untuk pembangunan kereta elektrik kompak yang boleh “dipinjamkan” kepada Perodua untuk dijadikan kereta komersial. Berbeza dengan Proton, mereka boleh menggunakan pelbagai platform kereta elektrik yang dihasilkan oleh Geely
Namun ini tidak bermakna Perodua Myvi generasi ke 4 yang bakal dilancarkan pada tahun 2025 nanti hanya akan menggunakan enjin 1300cc dan 1500cc semata-mata. Besar kemungkinan Perodua akan menawarkan varian hibrid pada model tertinggi, memandangkan isu subsidi petrol sedang dikaji (baca ditarik balik) oleh kerajaan
Cuma penulis terfikir apakah enjin dan sistem hibrid yang akan digunakan nanti?
Jika dilihat dari penawaran Daihatsu, mereka buat masa ini menggunakan sistem hibrid e-Smart Hybrid yang ditawarkan pada 300 unit Ativa hibrid. Sistem ini menggunakan sistem series hybrid, dimana enjin 1200cc 3 silinder semata-mata digunakan untuk mengecaj bateri sistem hibrid sahaja.
Semua kuasa untuk menggerakkan Ativa hibrid datang daripada satu motor elektrik yang menjana 106PS dan 170Nm tork. Bateri hibrid akan dicaj dengan menggunakan enjin dan juga dengan kaedah brek regeneratif.
Calon kedua untuk sistem hibrid yang boleh digunakan pada Myvi hibrid ialah dengan menggunakan rekaan yang sama pada Toyota Yaris Cross (AC200), dijual di pasaran Indonesia. Yaris Cross ini menggunakan enjin 4 silinder sebaris dengan sesaran 1496cc, menggunakan kod 2NR-VEX
Apa sahaja huruf X jika wujud pada enjin Toyota, besar kemungkinan yang enjin tersebut ialah enjin hibrid dengan operasi Atkinson. Jadi enjin ini hanya menghasilkan 91PS dan 127Nm tork, digunakan untuk mengecaj bateri sistem hibrid dan menggerakkan Yaris Cross pada halaju tinggi
Ya berbeza dengan sistem e-Smart Hybrid yang menggunakan rekaan series hybrid, sistem hibrid pada Yaris Cross menggunakan gabungan parallel-series hybrid. Dan selepas menghabiskan masa meneliti video INI, besar kemungkinan sistem yang digunakan oleh Yaris Cross adalah sistem Toyota Hybrid System Generasi ke 5
Anda boleh meneliti bagaimana sistem ini berfungsi di video INI.
Sistem hibrid-parallel series ini adal kelebihan dengan keupayaan untuk menyambungkan enjin kepada roda secara terus, dan pada masa yang sama mengecaj bateri hibrid. Jika anda menonton video di atas, anda akan terlihat satu komponen dinamakan sebagai power split device yang membolehkan semua aspek pengecasan dan menggerakkan kenderaan dilakukan secara serentak
Namun berbeza dengan sistem Toyota Hybrid System Generasi ke 5, sistem hibrid yang ada pada Yaris Cross menggunakan bateri ion lithium sebagai bateri untuk menyimpan tenaga. Jika anda perasan, hampir ke semua sistem hibrid Toyota akan menggunakan bateri Nickel Metal Hydride.
Jadi pada pandangan pembaca sekalian, adakah Perodua akan menggunakan sistem hibrid yang sama seperti Ativa Hybrid ataupun Toyota Yaris Cross?



