Buletin

MITSUBISHI TRITON GENERASI KEENAM RASMI DILANCARKAN – LIMA VARIAN, HARGA BERMULA RM101K

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, secara rasmi melancarkan trak pikap Mitsubishi Triton generasi keenam.

Mitsubishi Triton generasi keenam ditawarkan dalam lima varian iaitu Triton Single Cab, Triton MT, Triton AT GL, Triton AT Premium serta Triton Athlete.

Generasi terbaharu Triton ini telah direka semula sepenuhnya, dari bahagian luar dan dalam, hingga ke casis, rangka ladder, dan enjin.

Antara ciri utama ditawarkan oleh Mitsubishi Triton generasi baharu adalah seperti menggunakan bahasa rekaan “Beast Mode”, saiz badan lebih besar, dengan casis mega-frame baharu dan sistem suspensi dipertingkatkan.

Varian Single Cab juga hadir dengan dek kargo terbesar dalam segmennya, iaitu 2,340mm lebar dan 1,580mm panjang.

Ia turut dilengkapi lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, grafik berbentuk T pada lampu belakang serta diserlahkan lagi melalui rim 18-inci atau 16-inci untuk varian rendah.

Perincian lain termasuklah, menawarkan pelbagai ciri dalaman diilhamkan daripada SUV seperti dok pengecasan tanpa wayar, Apple CarPlay & Android Auto, serta ruang penyimpanan serba boleh.

Beralih pada kuasa, Triton 2024 dikuasakan enjin baharu 4N16 2.4 liter, berupaya menghamburkan 181hp dan tork 430Nm.

Untuk varian Athlete, ia menghasilkan sekitar 201hp dan 470Nm.

Dua varian terendah dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala varian lebih tinggi dipadankan bersama kotak gear automatik 6-kelajuan.

Selain itu, varian Athlete menerima sistem pacuan 4WD-II Super Select dan tujuh mod pemanduan dipertingkatkan memastikan prestasi jalan yang optimum.

Varian lain pula dilengkapi sistem Easy-Select 4WD dengan pilihan 2H (pacuan roda belakang), 4H (differential tengah berkunci), serta 4L (untuk pemanduan gear rendah).

Dari segi keselamatan, ia kini dilengkapi dengan Active Yaw Control yang membantu kawalan ketika melalui jalan licin, selain mempunyai Advanced Driver Assistance System (ADAS).

Untuk harga, perinciannya adalah seperti berikut:

  • Triton Single Cab – RM101,980
  • Triton MT – RM114,980
  • Triton AT GL – RM116,980
  • Triton AT Premium – RM145,980
  • Triton Athlete – RM165,980 

Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu).

Manakala, Mitsubishi Triton Athlete hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Google ads
Back to top button