BuletinMotosikal

NAKAGAMI SAMBUNG KONTRAK LCR HONDA, NASIB ZARCO BELUM PASTI

Honda HRC mengesahkan petang tadi bahawa Takaaki Nakagami akan kekal bersama pasukan LCR Honda untuk setahun lagi, Nakagami menandatangani sambungan kontrak untuk perlumbaan musim 2020 menjelang MotoGP di Motegi Jepun.

Dalam pengumuman tadi juga, Nakagami akan ketinggalan di tiga pusingan terakhir kerana akan menjalani rawatan lanjutan berikutan kecederaan bahu yang dialaminya.

Masih belum ada kenyataan rasmi siapa yang akan menggantikan Nakagami bagi pusingan Asutralia, Malaysia dan Valencia tapi khabar bertiup kencang di paddock Thailand bahawa calonnya ialah Johann Zarco.

“Pertama sekali, saya gembira kerana kekal bersama Honda dan pasukan LCR,” ujar Nakagami.

“Saya berjaya memperbaiki prestasi tahun ini dan Honda memberi sokongan yang padu dan bersama-sama, kami yakin dapat meneruskan pada musim 2020.

“Berkenaan kecederaan selepas pelanggaran di Assen, saya masih berasa sakit dan terasa amat lemah di bahagian bahu. Saya telah mendapatkan rawatan dan nasihat doktor dan memang ia menjejaskan prestasi semasa.

“Saya dan pasukan ambil keputusan sukar untuk jalani pembedahan pada saat ini,” tambah pelumba Jepun itu

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas, Nakagami dikatakan mengalami kecederaan mirip seperti Marc Marquez tahun lepas. Marc menjalani pembedahan sama pada Disember tahun lepas dan hanya cergas sekitar 50 peratus sahaja sebelum mengambil masa sehingga lima ke enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

SIAPA GANTIKAN NAKAGAMI?

Pelumba ujian Honda, Stefan Bradl adalah antara calon yang bakal menggantikan Nakagami secara automatik namun jika HRC mahu memiliki Zarco, ia juga satu pilihan yang bagus.

Ada banyak kemungkinan lain, lebih-lebih lagi ketika prestasi pelumba pasukan utama Honda-Repsol, Jorge Lorezo yang merudum sejak menyertai pasukan tersebut.

Antara gosip yang kedengaran ialah, Zarco menangguhkan persetujuan untuk bersama pasukan Yamaha tahun depan sehingga posisi Lorenzo lebih jelas. Juara tiga kali MotoGP itu hanya mampu menghabiskan perlumbaan di tempat ke-14 sekembalinya dari kecederaan pada Jun lepas.

NAKAGAMI MAHU JENTERA BARU

Nakagami beberapa kali mendesak Honda untuk memberinya jentera RCV terbaru untuk musim depan sepertimana yang digunakan oleh ketiga-tiga pelumba Honda yang lain. Namun bos LCR, Lucio Cecchinello mengesahkan Nakagami kekal menggunakan jentera RCV spesifikasi setahun di belakang.

“Pada 2020, Nakagami akan berlumba dengan RCV Factory yang telah dimenangi Marquez pada 2019,: ujar Cecchinello.

“Tahun hadapan adalah musim yang penting. Walaupun terpaksa ‘merehatkan’ Nakagami lebih awal, kami sudah berbincang bahawa merawat beliau pada saat ini adalah keputusan yang tepat jadi dia akan kembali dengan fizikal terbaik menjelang ujian pra musim di Sepang Februari nanti.

Google ads
Back to top button