Buletin

NASIM LANCAR SUV PEUGEOT 3008 – BERMULA RM142,888 SEUNIT!

Ini mungkin model yang paling ditunggu-tunggu daripada Peugeot. Namun, penantian itu berakhir apabila Nasim Sdn. Bhd. melancarkan SUV 3008 di Shah Alam hari ini.

Mula diperkenalkan di Eropah pada tahun 2016, 3008 baharu nyata mendapat review positif di seluruh dunia. 3008 ditawarkan dalam dua varian iaitu Active dan Allure.

Harganya pula bermula RM142,888 (Active) dan RM155,888 bagi varian Allure (OTR tanpa insurans).

“Kami mensasarkan jualan sebanyak 1,800 unit Peugeot pada tahun ini. Dengan 400 unit disumbang oleh 3008 yang mewakili 22 peratus daripada sasaran keseluruhan kami,” Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Samson Anand George.

Bersaing secara langsung dengan SUV segmen C seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Nissan X-Trail, 3008 memang mempunyai kelebihan yang mungkin sukar diketepikan oleh pembeli.

Penampilannya diserlahkan menerusi lampu utama LED sepenuhnya dan lampu belakang 3D. Mengadaptasikan reka bentuk terkini Peugeot, 3008 nampak dinamik dari setiap sudut.

Tidak dapat dinafikan, kabin Peugeot i-Cockpit generasi terkini membuatkan 3008 jauh menonjol berbanding mana-mana pesaingnya.

Ruang dalaman ini nampak sangat kemas dan moden. Skrin Heap-Up Display (HUD) bersaiz 12.3 inci memaparkan semua maklumat penting pemanduan seperti speedometer, odometer, trip dan banyak lagi. Tema paparan ini boleh ditukar melalui butang pada bahagian stereng.

SUV ini dikuasakan oleh enjin 1.6 THP dengan Variable Valve Timing yang mampu menjana 167PS dan tork 240Nm. Sekali gus menjadikannya SUV paling berkuasa dalam kelasnya.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik bersama ciri Tiptronic dan mode sport. Walaupun berupaya memecut selaju 211km/j, purata penggunaan bahan api adalah sekitar 7.0 liter bagi setiap 100km.

Dari segi keselamatan, 3008 dilengkapi enam beg udara, Hill Start Assist, Electronic Safety Program (ESP), sistem brek anti kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Brake Assist (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Dynamic Stability Control (DSC)

Jentera itu turut dipasang dengan ciri Advanced Grip Control dan Hill Assist Descent Control (HADC) yang berfungsi memberi keyakinan apabila melalui laluan curam. Dengan semua system keselamatan ini, maka tidak hairanlah jika 3008 menerima penarafan lima bintang daripada EURO NCAP.

3008 didatangkan dalam lima warna menarik iaitu tembaga, biru, kelabu, merah dan putih. Anda sudah boleh melihat SUV ini secara dekat di semua bilik pameran Peugeot di seluruh negara.

Sama seperti semua model Peugeot yang lain, 3008 hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun, perbatuan sejauh 120,000km, perkhidmatan Peugeot Assistance 24 jam serta akses percuma ke Sky Park Subang.

Google ads
Back to top button